
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian selepas disenaraikan sebagai tokoh Muslim ke-13 paling berpengaruh di dunia bagi edisi 2027.
Difahamkan, pengiktirafan berkenaan menerusi penerbitan ‘The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims’ oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC), sebuah institusi penyelidikan yang berpangkalan di Jordan. Senarai tersebut menilai pengaruh serta sumbangan tokoh Muslim dari seluruh dunia terhadap masyarakat Islam.
Dalam senarai berkenaan, Datuk Seri Anwar atau lebih mesra dipanggil PMX berada di belakang Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan yang menduduki tangga ke-12. Kedudukan tersebut turut menyaksikan beliau berada sebaris dengan beberapa pemimpin utama dunia Islam.


Antara tokoh lain yang tersenarai termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pula berada pada kedudukan ke-16.
Menurut profil yang diketengahkan RISSC, kepimpinan politik, pembangunan ekonomi serta peranan Malaysia dalam diplomasi antarabangsa menjadi antara aspek yang diberikan perhatian terhadap Anwar. Pendekatan Malaysia MADANI turut dilihat sebagai sebahagian daripada faktor yang membentuk pengaruh beliau.
Selain itu, usaha memperkukuh bidang kecerdasan buatan (AI), industri semikonduktor dan peralihan tenaga turut dinyatakan dalam penilaian tersebut. Penglibatan PMX dalam pembangunan pemikiran Islam sejak era Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta pendiriannya terhadap isu Palestin juga menjadi sebahagian daripada profil berkenaan.


Untuk rekod, edisi ke-18 The Muslim 500 menghimpunkan 500 tokoh Muslim dari pelbagai negara dan latar belakang. Daripada jumlah itu, 50 individu teratas diberikan kedudukan khusus, manakala 450 tokoh lain disenaraikan berdasarkan bidang pengaruh masing-masing.
Penilaian tersebut merangkumi pelbagai sektor termasuk kepimpinan politik, agama, pendidikan, kebajikan, perniagaan, sains, teknologi dan media. Kedudukan PMX dalam senarai itu sekaligus mencerminkan tahap pengaruh beliau berdasarkan penilaian RISSC serta perhatian yang diberikan terhadap kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sumber: Bernama & RTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








