
Penyanyi, Annie daripada kumpulan K-Pop rookie ALLDAY PROJECT kembali mencuri perhatian para peminat selepas berjaya menamatkan pengajian di salah sebuah universiti paling berprestij dunia, Columbia University di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video yang tular di media sosial, Annie atau nama sebenarnya Moon Seo-yoon (24), dilihat tampil anggun mengenakan jubah graduasi berwarna biru muda yang menjadi simbol rasmi Columbia University sambil tersenyum ceria ke arah kamera. Walaupun tampil dalam gaya ringkas sebagai graduan, aura bintang idola beliau tetap menyerlah dan berjaya mencuri perhatian peminat.
Bukan sekadar dikenali sebagai ahli kumpulan campuran lelaki dan wanita; ALLDAY PROJECT, Annie juga merupakan cucu kepada keluarga konglomerat terkenal Korea Selatan, Shinsegae. Statusnya sebagai pewaris keluarga elit bagaimanapun tidak menghalang Annie untuk membina identiti sendiri dalam industri hiburan K-Pop.
BACA: Annie ALLDAY PROJECT Minta Peminat Jangan Spam E-mel Kampus, Sukar Urus Hal Akademik
Difahamkan, Annie mengambil jurusan sejarah seni dan seni visual sepanjang pengajiannya di Columbia University. Sebelum membuat debut bersama ALLDAY PROJECT pada tahun lalu, beliau dilaporkan pernah menerima halangan daripada keluarga untuk menceburi dunia hiburan, namun berjaya membuktikan kesungguhannya dengan mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang.
Selepas debut rasmi bersama kumpulannya, Annie dikatakan sempat mengambil cuti pengajian bagi memberi fokus terhadap jadual seni yang semakin padat. Namun begitu, beliau kembali menyambung pengajian awal tahun ini selepas tempoh cutinya tidak lagi boleh dilanjutkan, sekaligus menunjukkan komitmennya dalam mengimbangi kerjaya dan pendidikan.
Kejayaan Annie menamatkan pengajian turut menerima pelbagai reaksi positif daripada para peminat yang menyifatkan dirinya sebagai contoh idola generasi baharu yang bukan sahaja berbakat dalam bidang hiburan, malah mementingkan pencapaian akademik. Ramai turut memuji disiplin dan kesungguhannya yang berjaya mengurus dua dunia berbeza dalam satu masa.
Dalam perkembangan lain, peminat (DAY ONE) kini mula menantikan kemunculan semula Annie bersama ALLDAY PROJECT selepas tamat pengajiannya, selain berharap kumpulan tersebut bakal tampil dengan projek muzik baru sekitar pertengahan tahun ini. Kehadiran Annie semula dalam industri hiburan dijangka menjadi antara perhatian utama peminat K-Pop global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.