
Baru-baru ini, sukan SEA Thailand 2025 menyaksikan satu lagi detik bersejarah buat kem olahraga negara apabila jaguh lompat jauh lelaki, Andre Anura Anuar akhirnya berjaya menamatkan penantian 22 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara berkenaan.
Acara yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, pada Isnin, Andre menebus kekecewaan merangkul emas hatrik lompat kijang dengan mempamerkan lompatan sejauh 7.71 meter (m) sekaligus mengungguli acara lompat jauh lelaki.
Dalam pada itu, kejayaan atlet berusia 26 tahun itu sekaligus mengakhiri kemarau emas negara sejak kali terakhir acara tersebut dimenangi oleh Shahrul Amri Suhaimi pada edisi Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.
Andre turut mengenepikan cabaran sengit juara bertahan dari Filipina, Janry Ubas, yang mencatatkan lompatan 7.64m untuk meraih perak, manakala wakil Singapura, Andrew George Medina, membawa pulang pingat gangsa dengan catatan 7.53m.
Pada masa yang sama, mengulas kejayaannya, Andre mengakui masih sukar mempercayai kemenangan tersebut, apatah lagi selepas hanya meraih perak dalam acara lompat kijang lelaki sebelum ini.
“Saya tahu saya kalah di lompat kijang, kemudian saya tahu untuk menebus kekecewaan, lompat jauh ini satu harapan yang saya ada,” katanya.
“Sebenarnya, saya masih lagi belum percaya. Namun saya gembira sehingga buka baju lepas itu lari sana sini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, pemegang rekod kebangsaan lompat jauh dengan catatan 8.02m itu turut mendedikasikan kejayaan berkenaan kepada isterinya serta pemain skuasy negara, Aifa Azman, selain ahli keluarga di Sabah yang sentiasa menjadi sumber motivasi.
Andre berkata beliau kini akan mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, selepas mengharungi cabaran sengit pada temasya dwitahunan ini.
Sekadar rekod, Khamis lalu Andre mencatat lompatan 16.29m dalam acara lompat kijang lelaki namun terlepas pingat emas kepada wakil Vietnam, Ho Trong Manh Hung, yang melakukan lompatan 16.33m, manakala gangsa dimenangi atlet Singapura, Gabriel Jing Yi (16.09m).
Untuk pengetahuan, sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini melibatkan dua wilayah utama iaitu Bangkok dan Chonburi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.