
Jaguh judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed baru-baru ini mencuri perhatian selepas berjaya melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland. Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan dalam kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki, sekaligus mencipta detik paling bermakna buat arena judo negara.
Atlet yang kini berusia 21 tahun itu membuktikan kemampuan luar biasanya apabila menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen pada aksi final yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC). Amir, yang berada di ranking ke-117 dunia, mengejutkan lawannya yang menghuni tangga ke-41 dunia menerusi kemenangan waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit.
Difahamkan, sebelum melangkah ke pentas final, Amir terlebih dahulu memastikan tempatnya selepas menewaskan judoka Australia, Keishin Ochi pada aksi separuh akhir menerusi yuko hasil teknik utsuri-goshi. Kemenangan tersebut membuka laluan kepada satu lagi pencapaian bersejarah buat kontinjen negara.

Lebih manis, kejayaan ini turut menyaksikan Amir memperbaiki pencapaiannya di Birmingham 2022 apabila sebelum ini meraih pingat gangsa dalam kategori bawah 73kg. Malah, emas yang dirangkulnya kali ini bukan sahaja menjadi yang pertama buat Malaysia dalam sukan judo di pentas Sukan Komanwel, malah merupakan pingat emas kelapan negara pada edisi Glasgow 2026.
Di sebalik kejayaan tersebut, beliau yang juga merupakan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengakui perjalanan untuk bergelar juara bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mengimbangi komitmen sebagai atlet dan mahasiswa, selain mengorbankan banyak masa bersama keluarga demi mengejar impian mengharumkan nama Malaysia.
“Mungkin selepas ini saya boleh berehat selama seminggu dan meluangkan masa bersama keluarga. Pingat ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Ini emas pertama judo Malaysia di Sukan Komanwel dan nilainya sangat besar buat saya,” katanya.

Tambah Amir, segala pengorbanan yang dilalui selama ini akhirnya membuahkan hasil selepas mengorbankan darah, keringat dan air mata demi mencapai kejayaan tersebut.
Menurutnya, pengorbanan yang dilakukan bukan hanya melibatkan masa dan kewangan, malah turut menuntut dirinya mengorbankan masa bersama keluarga kerana perlu menjalani latihan setiap hari di samping meneruskan pengajian sehingga jarang berpeluang meluangkan masa bersama ibu dan insan tersayang.
BACA: Siti Aqilah Farhana Cipta Sejarah, Raih Perak Sulung Wanita Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!
“Setiap hari saya perlu menjalani latihan dan meneruskan pengajian sehingga tidak pernah ada masa untuk saya duduk dan bertanya kepada ibu bagaimana harinya,” ujarnya.
Kejayaan bersejarah itu menjadi lebih istimewa apabila disaksikan sendiri oleh ibu Amir, Yeoh Suatkhim serta kakaknya, Nur Yasmeen yang hadir memberikan sokongan di Glasgow. Pencapaian itu sekaligus meletakkan nama Amir sebagai atlet judo Malaysia pertama meraih emas di Sukan Komanwel, selain membuka lembaran baru buat perkembangan sukan judo negara di pentas antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










