
Terbaru, pelakon Afiq Muiz mencuri perhatian di media sosial apabila dipercayai sudah mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hatinya.
Menerusi sebuah perkongsian foto di Instagram, Afiq atau pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Muiz Azman Shah (34) meluahkan rasa syukur selain memberi bayangan dirinya kini sudah ‘diikat’ menerusi hubungan yang lebih serius.
Dalam hantaran tersebut, pelakon drama bersiri ‘Gerak Khas 2.0’ itu dilihat tampil sedondon bersama seorang wanita mengenakan busana berwarna hijau pekat yang cukup elegan.
Namun begitu, identiti bakal isterinya masih menjadi tanda tanya apabila wajah wanita berkenaan sengaja disorok menggunakan sejambak bunga tangan ketika sesi fotografi tersebut.
“Alhamdulillah, ok lock,” tulisnya ringkas pada ruangan kapsyen.
Perkongsian itu sekaligus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang rata-ratanya meluahkan rasa teruja selain menitipkan ucapan tahniah buat pasangan tersebut.
Setakat ini, Afiq masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai status pertunangannya mahupun berkongsi lanjut mengenai wanita yang berjaya mencuri hatinya itu.
Untuk info, Afiq sebelum ini mula dikenali menerusi drama ‘Memori Cinta Suraya’ selain turut membintangi beberapa naskhah popular lain seperti ‘Bidadari Kiriman Tuhan’, ‘Cinta Tiada Ganti’, dan ‘Nikmat Hanya Sesaat’. Sebelum ini, Afiq pernah mendirikan rumah tangga dengan Pachara Apin pada tahun 2019 sebelum dilaporkan berpisah pada 2023.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.