Individu Buang Sampah Merata Berdepan Hukuman Tegas Mulai 1 Januari

Share

Terbaru, individu yang didapati membuang sampah di tempat awam bakal berdepan hukuman lebih tegas apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 mula dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026.

Menerusi pelaksanaan akta berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 selain Perintah Khidmat Masyarakat selama tempoh maksimum 12 jam sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed memaklumkan bahawa undang-undang tersebut terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian, termasuk pelancong asing yang berada di negara ini.

Kredit foto: Jurnalis Shah Alam
Gambar sekadar hiasan (Kredit foto: KKM)

Tambah beliau, pendekatan perintah khidmat masyarakat diperkenalkan bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.

Pada masa yang sama, langkah itu juga dilihat sebagai satu inisiatif jangka panjang untuk membentuk sikap masyarakat supaya tidak lagi membuang sampah secara sewenang-wenangnya, sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selesa.

“Kami ada anggota yang akan pantau dan berada di kawasan-kawasan awam sama ada dalam bentuk penyamaran. Tolonglah jaga dan buang sampah dalam tong disediakan dan jangan buang merata-rata,” katanya.

Gambar sekadar hiasan (Kredit foto: KKM)

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu melibatkan semua pihak termasuk pelancong asing dan kanak-kanak bagi memastikan pelaksanaannya bersifat menyeluruh, dan ia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa dan kebersihan awam.

Sementara itu, antara bentuk perintah khidmat masyarakat yang boleh dikenakan kepada pesalah termasuk aktiviti mengutip sampah, mencuci tandas serta longkang, selain diwajibkan memakai ves khas tertera perkataan ‘khidmat masyarakat’ sepanjang tempoh hukuman dijalankan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE