
Tiada majlis meriah, kek bertingkat dan hadiah mewah, Aisar Khaled pempengaruh media sosial terkenal memilih jalan berbeza yang jauh lebih bermakna sempena ulang tahunnya yang ke-25.
Aisar mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan menyumbangkan tiga buah van jenazah kepada rakyat Indonesia, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan kurang berkemampuan dalam menguruskan urusan akhir hayat.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok miliknya (@aisarkhaledd), Aisar dilihat berada di sebuah kedai kenderaan di Indonesia sambil meninjau van yang ingin dibeli. Walaupun jauh dari kemeriahan biasa sambutan ulang tahun, suasana video tersebut tetap menyentuh hati malah memberi inspirasi kepada ramai.
Difahamkan, kos keseluruhan pembelian tiga van tersebut mencecah 270 juta rupiah, iaitu kira-kira RM80,000. Van-van tersebut akan diubah suai menjadi van jenazah sebelum disumbangkan kepada komuniti tempatan yang memerlukan.
“Tahun ini saya nak sambut birthday dengan cara berbeza. Saya nak hadiahkan sesuatu yang betul-betul bermanfaat untuk orang lain,” ujar Aisar dalam perkongsiannya.
@aisarkhaledd
sedekah 3 biji van jenazah suprise ulang tahun ke-25 🎂🥺
♬ original sound ZASIA – MITTY
Menurut Aisar, sumbangan ini bukan sekadar satu inisiatif spontan. Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya dalam kerja-kerja kebajikan dan misi kemanusiaan. Malah, beliau pernah terbabit dalam pelbagai misi bantuan termasuk untuk mangsa bencana alam dan sumbangan peralatan perubatan di beberapa negara.
Tindakan Aisar ini bukan sahaja meraih pujian daripada netizen, malah membuka mata ramai tentang bagaimana anak muda boleh menggunakan pengaruh mereka ke arah yang lebih baik.
“Saya harap umur yang Allah beri ini dapat terus dimanfaatkan untuk perkara yang baik. Kalau kita boleh bantu urusan orang lain, itu adalah rezeki yang sangat besar,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Langkah Aisar membuktikan bahawa ulang tahun tidak semestinya diraikan dengan kemewahan. Kadangkala, hadiah paling bermakna adalah yang memberi impak jangka panjang kepada orang lain.
Dalam dunia penuh dengan trend hiburan dan budaya “show-off”, tindakan Aisar menyerlahkan sisi matang dan empati yang wajar dicontohi oleh remaja masa kini. Walaupun masih muda, beliau berjaya menunjukkan bahawa platform media sosial boleh digunakan untuk menyebarkan kebaikan bukan sekadar untuk hiburan.
BACA LAGI : Uncle Ini Berjaya Kumpul RM90,000 Dalam Masa 2 Hari Untuk Beli Van Jenazah, Salute!
Sumber : @aisarkhaledd (TikTok)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.