
Penyanyi terkenal, Adira Suhaimi mengakui akan menguruskan sendiri perjalanan karier seni anak sulungnya, Anggrek, 9, selepas berjaya dinobatkan sebagai juara program Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2), malam tadi.
Menurut Adira, faktor usia Anggrek yang masih muda membuatkan dirinya merasakan dia individu paling sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengurus buat masa ini.
Kata Adira, walaupun Anggrek kini bergelar juara, aspek pendidikan tetap menjadi keutamaan utama dalam keluarga mereka.
“Walaupun Anggrek sudah jadi juara TTMM 2 yang saya sendiri tidak pernah sangka dia akan berjaya, tetapi pelajaran adalah keutamaan kami. Jadi, biarlah saya jadi pengurusnya sekarang untuk mudah mengatur jadual ‘show’ nanti.
“Sebabnya, dia (Anggrek) pun kanak-kanak lagi dan perjalanan dalam industri seni ini masih terlalu panjang buat Anggrek. Jadi, apa-apa pun biar dia utamakan pelajaran dulu kerana itu yang kita lebih inginkan,” katanya kepada Remaja.
Dalam masa sama, ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu turut memuji sikap Anggrek yang disifatkan sangat berdisiplin dan mudah diurus sepanjang menyertai TTMM2.
Menurut Adira, anaknya itu memberikan komitmen sepenuhnya ketika menjalani sesi latihan tanpa pernah merungut.
“Pagi, petang, siang dan malam, Anggrek memberikan komitmen sepenuh hati berlatih, tidak merungut dan dia sangat disiplin. Sebab itu saya kata mudah untuk atur dan uruskan dia termasuk tidak pernah saya memaksanya.
“Kalau dia tanya kepada saya macam mana jika kakak (penggilan Anggrek di rumah) tidak boleh buat persembahan terbaik, selalu saya cakap tidak apa sebab kita sudah berusaha semampunya dan itu yang penting. Jadi, biar Allah yang tentukan semua.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur Anggrek menang jadi juara sebab dia ‘deserve’ (layak) mendapatkannya. Malah, wang tunai kemenangan sebanyak RM30,000 ini semuanya milik Anggrek seorang,” katanya.
Ditanya mengenai hadiah istimewa yang bakal diberikan kepada Anggrek sempena kejayaan tersebut, penyanyi lagu Pujaan Hati dan Ombak Rindu
itu mengakui masih belum memikirkan perkara berkenaan.Menurutnya, kemenangan Anggrek sememangnya di luar jangkaan mereka sekeluarga.
“Belum fikir lagi apa hadiah istimewa yang saya nak berikan kepada Anggrek atas kemenangannya ini. Tidak fikir apa-apa pun lagi sebab kita memang tak sangka langsung akan jadi juara. Ini memang rezeki Anggrek sepenuhnya.
“Kami mohon berilah sedikit masa untuk fikir. Lagi pun, dia (Anggrek) sendiri belum minta dibelikan apa-apa hadiah. Jadi, tengoklah dulu macam mana nanti dan yang paling penting saya nak uruskan jadual sekolahnya dulu sebab pendidikan sangat utama.
“Cuma, Anggrek ini karakter dia di luar pentas memang lain dan bila dia naik ke atas pentas pula jadi orang yang berbeza. Tetapi, apa pun dia tetaplah Anggrek yang sama dan anak Adira Suhaimi,” jelasnya.
Sebagai juara TTMM2, Anggrek membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM30,000, barangan kemas, pakej penginapan, tajaan pengurusan dan pemasaran bernilai RM50,000, lagu baharu serta trofi kemenangan.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan bakat serta potensi besar yang dimiliki Anggrek dalam industri hiburan tanah air meskipun usianya masih muda.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.