
Baru-baru ini, penyanyi dan guru vokal tersohor negara, Datuk Syafinaz Selamat (Tok Naz) sekali lagi menerima kepercayaan apabila dilantik sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pelantikan itu sekaligus mengiktiraf pengalaman luas beliau dalam industri seni serta sumbangan berterusan terhadap pembangunan pendidikan muzik negara.
Difahamkan, pelantikan bagi penggal kedua itu berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028. Pengiktirafan tersebut membuka ruang buat Syafinaz untuk terus berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam bidang muzik, khususnya berkaitan vokal serta pembangunan bakat generasi baharu.
Mengulas mengenai pelantikan berkenaan, Tok Naz menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh pihak UPSI sebagai satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Baginya, pelantikan kali kedua itu bukan sekadar sebuah pengiktirafan, sebaliknya satu peluang untuk terus memberi sumbangan bermakna kepada dunia pendidikan muzik.

View this post on Instagram
“Dilantik sebagai Profesor Adjung buat kali pertama merupakan satu penghormatan, manakala kali kedua ialah amanah yang besar. Ia mengingatkan saya bahawa kepercayaan bukan diberi sekali tetapi perlu terus dibuktikan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan antara fokus utama beliau menerusi peranan tersebut adalah untuk memperkukuhkan pendidikan muzik, terutama dalam bidang vokal dengan pendekatan yang lebih berasaskan penyelidikan, pedagogi dan sains suara. Menurutnya, bidang muzik perlu dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang mampu membentuk kreativiti, komunikasi, disiplin serta jati diri seseorang.
“Bagi saya, vokal bukan sekadar kebolehan menyanyi tetapi satu proses membentuk kreativiti, komunikasi, disiplin dan jati diri seseorang. Sebab itu, guru muzik perlu dilengkapi ilmu supaya mereka bukan sahaja mampu melahirkan penyanyi yang baik tetapi juga individu yang memahami seni secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

Selain berkongsi kepakaran dalam bidang akademik, figura seni berkenaan turut berharap hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri muzik dapat terus diperkukuhkan. Beliau percaya pendidikan muzik berkualiti mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang seni sebagai sebuah kerjaya profesional yang memerlukan ilmu, integriti dan komitmen tinggi.
BACA: Bakal Perkasa Dunia Muzik & Akademik, Datuk Syafinaz Selamat Dilantik Profesor Adjung UPSI
BACA: Datuk Syafinaz Selamat Kini Terajui Lembaga Pengarah ASWARA, Fokus Perkasa Pendidikan Seni Negara
Dalam pada itu, Tok Naz merancang untuk meneruskan pelaksanaan siri bengkel serta seminar secara lebih tersusun sebagai kesinambungan kepada program yang pernah dijalankan sebelum ini. Usaha tersebut diharapkan dapat memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar serta penggiat seni muda dalam memahami aspek teknikal dan profesionalisme dalam industri muzik.
Berbekalkan pengalaman sebagai penyanyi, pengarah muzik, jurulatih vokal dan pendidik, Tok Naz terus membuktikan bahawa kejayaan dalam dunia hiburan bukan hanya diukur melalui pencapaian di pentas, tetapi juga melalui kemampuan menyumbang ilmu kepada generasi akan datang. Pelantikan kali kedua sebagai Profesor Adjung Tersohor UPSI menjadi bukti legasi beliau yang terus berkembang dalam bidang seni dan pendidikan muzik tanah air. Tahniah!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














