9 Tahun Bersama, Cristiano Ronaldo Akhirnya Lamar Georgina

Share

Selepas hampir sedekad menjalin hubungan cinta, bintang bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo akhirnya mendedahkan bakal berkahwin dengan model kelahiran Argentina, Georgina Rodriguez.

Menerusi perkongsian di Instagram milik Georgina (31) baru-baru ini, beliau berkongsi khabar gembira itu dengan kapsyen romantis yang sekaligus mengundang ucapan tahniah daripada jutaan pengikutnya di seluruh dunia.

“Ya, saya terima. Dalam hidup ini dan sepanjang hidupku,” tulisnya.

Dalam pada itu, apa yang lebih menarik, warga internet juga tertumpu kepada cincin pertunangan beliau yang dikatakan seberat lebih 20 karat dan bernilai jutaan dolar. Reka bentuknya yang mewah seolah mengesahkan lagi status mereka sebagai antara pasangan selebriti paling glamor di dunia.

Sekadar info, Ronaldo dan Georgina mula berkenalan pada tahun 2016, sejak itu hubungan mereka berkembang sehingga membentuk sebuah keluarga besar. Pasangan romantis ini kini mempunyai lima orang anak termasuk Cristiano Jr., Eva Maria, Mateo, Alana Martina dan Bella Esmeralda.

Ronaldo yang kini berusia 40 tahun, merupakan kapten kelab Al-Nassr dan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali. Beliau sebelum ini pernah menjalin hubungan dengan model Rusia, Irina Shayk, sebelum bertemu Georgina.

Selain itu, Cristiano Jr., anak sulung Ronaldo, dilahirkan pada 2010 dan sering meraih perhatian peminat kerana mewarisi bakat bola sepak bapanya. Pada tahun 2017, pasangan ini turut dikurniakan anak kembar, Eva Maria dan Mateo, serta dua anak perempuan, Alana Martina dan Bella Esmeralda yang lahir pada 2022.

Walaupun sudah lama tinggal sebumbung, pengumuman pertunangan ini menandakan langkah rasmi pasangan ini menuju ke alam perkahwinan. Ia juga menutup spekulasi yang sering timbul mengenai status hubungan mereka.

Berita ini pastinya membuatkan peminat setia pasangan tersebut tidak sabar menantikan detik bersejarah dan kini hanya menunggu tarikh rasmi majlis perkahwinan yang dijangka menjadi antara acara selebriti terbesar tahun ini. 

Tahniah kami ucapkan kepada Cristiano Ronaldo dan pasangan!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE