7 Calon Anak Muda Terima Dana Sinar Untuk PRU14

Share

Ke sana ke mari, kisah hangat tentang Pilihan Raya Umun Ke-14 (PRU14) semakin hangat diperkatakan. Setiap warga tidak mengira agama, bangsa dan peringkat usia kian membicarakan tentang ‘festival’ yang berlangsung 5 tahun sekali ini.

Dan antara yang sering mendapat perhatian ramai ialah pengenalan calon-calon muda dari kesemua parti bertanding.

Pada 9 April yang lalu, Sinar Harian telah melancarkan Dana Sinar Anak Muda dalam politik dengan hasrat ingin menaja dan mengetengahkan calon-calon muda tidak mengira parti.

Menerusi pengumuman ini, calon yang layak dan bertanding di peringkat Parlimen menerima RM30,000 manakala untuk peringkat Dewan Undangan Negeri menerima RM15,000.

Dan pada hari ini seramai 7 orang calon muda dari pelbagai parti telah diumumkan sebagai penerima dana ini bagi mereka bertanding pada PRU14.

Mereka yang terpilih ialah Abdul Hannaan Khairy (Bersatu, Dun Kayang), Wong Chun Yuan (PKR, Dun Damak), Young Syefura Othman (DAP, Dun Ketari, Bentong), Lee Yee Yuan (MCA, Dun Sekinchan), Hasbie Muda (Amanah, Dun Paka), Siti Mastura Muhammad (PAS, Parlimen Kepala Batas) dan figura calon muda paling popular, Syed Saddiw Syed Abduk Rahman (Bersatu, Parlimen Muar)

Menurut Setiausaha Sekretariat, Norden Mohamed, selain wang tunai, calon juga akan mendapat liputan satu halaman di Sinar Harian dan temubual secara langsung di Sinar Online.

Idea mewujudkan dana ini tercetus apabila Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan beberapa orang dermawan berbincang lalu sedar betapa moleknya jika masyarakat dapat menggalakkan anak-anak muda untuk terlibat sama dalam politik untuk membina negara.

Dana Sinar juga masih membuka permohonan kepada calon-calon anak muda yang masih belum memohon daripada parti Umno, MIC, Gerakan dan calon Bebas.

Semoga dana seperti ini akan terus dikekalkan dan menjadi platform untuk calon-calon muda mengetengahkan aspirasi, cita-cita serta suara relevan buat generasi muda di Malaysia.

IKLAN