6 Kejadian Paling Menarik Berlaku Di Piala Dunia 2018 Setakat Ini

Share

Kini tinggal dua pasukan. Segala ramalan atau teka-teki pasukan manakah yang akan mara ke perlawanan akhir terjawab semalam selepas England tewas di tangan Croatia dengan jaringan dua berbalas satu. Croatia akan berdepan dengan juara Piala Duna 1998, Perancis yang sebelum itu menewaskan Belgium dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Dan kedua-dua pasukan ini akan berentap pada hari Ahad ini. Selepas hampir sebulan demam Piala DUnia 2018 kini hampir tiba ke penghunjungnya. Pelbagai kejadian suka duka serta kejutan yang telah berlaku pada edisi kali ini. Tidak salah untuk REMAJA katakan bahawa ini merupakan Piala Dunia yang paling banyak drama.

Sebelum kita melabuhkan tirai dan menantikan siapakah antara Perancis dan Croatia yang bakal menjadi juara, REMAJA ingin kongsikan 5 fakta paling menarik yang telah berlaku sepanjang kejohanan pada edisi kali ini.

VAR

Buat pertama kalinya dalam sejarah Piala Dunia, FIFA telah memperkenalkan penggunaan Video Assistant Referee atau lebih popular dengan panggilan VAR. FIFA memperkenalkan teknologi video ini bagi memberikan keputusan yang lebih telus dan adil.

Keputusan dalam perlawanan yang pertama menggunakan VAR ialah ketika perlawanan peringkat kumpulan antara Perancis dan Australia. Sepanjang peringkat kumpulan sebanyak 335 insiden diperiksa menggunakan VAR dengan purata 7 dalam satu perlawanan.

Gol Sendiri

Tiada lebih malang melainkan menyaksikan pemain kesayangan menjaringkan gol sendiri. Tapi itulah bola sepak apa pun boleh berlaku dalam sekelip mata. Kebanyakan gol sendiri sebenarnya bukanlah disengajakan.

Setiap edisi Piala Dunia pasti akan ada berlaku jaringan gol sendiri. Cuma menariknya edisi di Rusia kali ini kita telah menyaksikan sebanyak 11 gol sendiri dijaringkan. Ia sekali gus menjadikan edisi ini mencatatkan jumlah gol sendiri paling banyak.

Korea Selatan Ratah Jerman

Semangat tidak pernah menyerah kalah! Itulah yang ditunjukkan oleh pasukan Korea Selatan ketika mereka bertemu Jerman di peringkat kumpulan. Dalam perlawanan tersebut Jerman memerlukan kemenangan untuk layak ke pusingan kalah mati.

Harapan Korea pula sangatlah tipis dan boleh dikatakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan ini hanyalah pelengkap jadual sahaja. Sebelum perlawanan ramai pihak menjangkakan Jerman yang juga juara bertahan akan menang mudah. Namun, pemain-pemain Korea membuktikan sebaliknya dan menumpaskan Jerman dengan dua gol tanpa balas!

Disiplin Jepun

Satu dunia sudah tahu akan sikap dan jati diri orang Jepun yang sangat berdisiplin. Jika sebelum ini kita telah saksikan bagaimana peminat-peminat mereka sama-sama bergotong-royong memungut sampah dalam stadium hingga menjadi contoh terbaik buat warga antarabangsa.Tapi kali ini sedikit berbeza apabila ia ditonjolkan oleh pemain-pemain mereka sendiri.

Selepas terpaksa berputih mata tewas dengan gol minit-minit akhir di tangan Belgium, pemain-pemain Jepun membersihkan bangku simpanan mereka. Malah, mereka turut membersihkan bilik persalinan hinggakan pihak pengajur berkata kondisi ditinggalkan mereka lebih baik daripada yang asal. Lebih manis, team Jepun meninggalkan nota ‘terima kasih’ yang ditulis dalam bahasa Rusia. Respect!

Kebanggaan Rusia

Sebelum kejohanan Piala Dunia 2018 dilangsungkan, pasukan tuan rumah Rusia dianggap sebagai antara pasukan paling lemah. Malah menurut pengkritik sukan di negara mereka sendiri melabelkan inilah pasukan bola sepak paling lemah dalam sejarah negara mereka. Akan tetapi pemain-pemain Rusia telah membuktikan yang sebaliknya. Mereka memulakan langkah kanan dengan membelasah Arab Saudi dengan lima jaringan tanpa balas.

Mereka kemudian layak ke pusingan kalah mati bertemu dengan Juara Piala Dunia 2010. Tidak banyak harapan diberikan namun dengan kerja keras dan semangat mereka menang dengan penentuan sepakan penalti. Namun, langkah Rusia terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas di tangan finalis, Croatia yang juga menerusi penentuan sepakan penalti.

Mexico & Korea Selatan Bersaudara

Menariknya keputusan perlawanan antara Korea Selatan dan Jerman turut mendapat perhatian daripada penyokong Mexico. Ini disebabkan mereka telah tewas kepada Sweden dan memerlukan keajaiban daripada Korea Selatan untuk menewskan Jerman untuk mereka layak ke peringkat seterusnya. Kedua-dua perlawanan dilangsungkan serentak menambahkan lagi debaran dan drama di kalangan peminat Mexico.

Sepanjang perlawanan mereka tidak putus memeriksa keputusan semasa perlawanan Korea dan Jerman. Dengan kemenangan Korea Selatan, pasukan Mexico layak ke pusingan kalah mati. Sejurus tamat perlawanan, ratusan peminat Mexico di negara mereka segera ke Kedutaan Korea Selatan sambil menyanyikan lagu ‘Korea Selatan dan Mexico bersaudara’.

IKLAN