
Seramai 23 pelajar Pahang Skills berjaya menamatkan Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI–ECRL) di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), Liuzhou, China, sekali gus melakar pencapaian membanggakan dalam bidang kemahiran industri rel.
Daripada jumlah tersebut, seramai 16 graduan mengikuti latihan dalam bidang Overhead Catenary System (OCS), manakala tujuh lagi merupakan graduan Assistant Station Officer (ASA).
Lebih membanggakan, salah seorang graduan Pahang Skills, Tan Yee Ling, turut menerima Outstanding Award sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta prestasi cemerlang sepanjang mengikuti program latihan berkenaan.
Kesemua graduan Pahang Skills itu merupakan sebahagian daripada 142 graduan kohort kedua Program Latihan Operasi dan Penyelenggaraan PLKI–ECRL yang diraikan dalam Majlis Graduasi Program Berkembar PLKI–ECRL di Lotus Villa Hotel, Liuzhou, China.
Majlis graduasi berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., YBhg. Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, barisan kepimpinan LRVTC serta wakil institusi, rakan strategik dan penaja program.
Delegasi Pahang Skills pula diketuai barisan kepimpinan dan pegawai institusi, termasuk Pengerusi Pahang Skills, Naib Pengerusi Pahang Skills, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Pemangku Pengarah Eksekutif dan Timbalan Pengarah Eksekutif.
Pahang Skills turut merakamkan penghargaan kepada Maybank Islamic, Yayasan DayaDiri dan Yu Cai Foundation 育才基金 atas sokongan serta penajaan yang membolehkan para pelajar mengikuti latihan industri rel bertaraf antarabangsa di China.
Penghargaan turut diberikan kepada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL) dan LRVTC atas komitmen dalam menyediakan latihan serta membangunkan bakat teknikal tempatan bagi memenuhi keperluan industri rel negara.
Sepanjang mengikuti program tersebut, para pelajar didedahkan kepada teori perkeretaapian, latihan praktikal serta budaya kerja profesional yang menekankan aspek keselamatan, ketepatan dan kecekapan operasi.
Pengalaman mengikuti latihan di China turut memberi pendedahan kepada para graduan mengenai standard serta amalan kerja dalam industri rel yang boleh menjadi bekalan penting apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Pencapaian ini dilihat amat signifikan memandangkan projek ECRL kini berada pada fasa akhir pembinaan, dengan kemajuan mencapai kira-kira 95.41 peratus setakat Ogos 2026 dan sasaran pembukaan rasmi diawalkan kepada Disember 2026.
Justeru, graduan PLKI–ECRL berpotensi menjadi antara kumpulan tenaga kerja perintis yang akan menyokong operasi serta penyelenggaraan sistem ECRL apabila perkhidmatan tersebut mula beroperasi.
Pahang Skills berharap segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang latihan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina kerjaya yang cemerlang, selain menyumbang kepada pembangunan industri rel negara.
Tahniah diucapkan kepada kesemua 23 graduan Pahang Skills, khususnya Tan Yee Ling atas kejayaan meraih Outstanding Award.
Pencapaian ini menjadi bukti keupayaan anak tempatan untuk bersaing dan menyerlah dalam bidang kemahiran bertaraf antarabangsa, selain menjadi langkah penting dalam melahirkan generasi baharu tenaga mahir bagi menyokong masa depan industri rel negara.
Sumber : Facebook Pahang Skills
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.