Kehilangan orang yang disayangi memang sesuatu yang sangat menyedihkan. Apa lagi bila menerima berita sedih itu secara berturut dalam jangka masa yang dekat.

Luahan hati seorang bapa mengundang sebak bila mana dia berkongsi kisah tentang kehilangan dua orang anak selang hanya lima hari pada awal tahun ini.

[Recap 2018] 2 Beradik Meninggal Selang 5 Hari Dengan Cara Sama. Bapa Dedah Doa Anak Termakbul

Tiada apa lagi yang cukup menyedihkan bila dua kematian dilalui selang berbeza lima hari. Bagai sudah dijanji-janji, cara kematian Adam Iqmal Najmi, 18 dan abangnya, Imaan Al-Imran sama.

Keduanya terlibat dalam kemalangan jalan raya secara sendirian. Menunggang motosikal jenis yang sama, warna yang sama malah cara kematian juga sama, iaitu alami kecederaan di kepala. Lebih syahdu dan menyayat hati, kedua beradik ini dikebumikan saling berdekatan. Bertemu kaki dan kepala!

Pemergian dua anak beza selang lima hari, Adam pada 26 Disember manakala abangnya, Imaan pada 31 Disember bagai merentap kekuatan ibu, Noreza Abdul Manaf, 50 dan suaminya, Alias Ahmad, 55.Keduanya agak terlalu sedih namun sebagai hambanya, keduanya redha!

Paling menyayat hati, bila perlu menurunkan jenazah anak sendiri. Biar tidak kuat tetapi itulah bantuan akhir buat si anak yang pergi buat selama-lamanya.

[Recap 2018] 2 Beradik Meninggal Selang 5 Hari Dengan Cara Sama. Bapa Dedah Doa Anak Termakbul
Alias dan anak keduanya, Luqman Hakim.

 

Bagi Alias Ahmad, 55, dia yang bekerja sebagai pemandu bas di Maybank dan seorang penggali kubur dan pembuat kapok sebagai kerja sambilan, sekian lama menurunkan ratusan jenazah kerana bidang kerjanya namun tatkala menurunkan anak sendiri ke liang lahat, kaki dan hatinya cukup bergoncang.

“Kali pertama ketika Adam meninggal, saya masih boleh menerima takdir Allah. Saya sendiri menurunkan jenazah anak ke liang lahat. Saya pegang kepalanya, arwah Imaan pegang pinggang adiknya manakala seorang lagi anak lelaki saya, Luqman Hakim, memegang bahagian kaki adiknya. Hanya kami bertiga.

“Tapi bila Imaan meninggal, hati saya bergoyah. Saya tak kuat. Allah menguji saya dalam tempoh terdekat. Sayang saya kepada anak namun sebagai hamba Allah yang diberi pinjaman sementara, saya sekeluarga redha biar kami kehilangan ahli keluarga di saat baru saja selesai mengadakan kenduri tahlil buat Adam dan kini bersambung kenduri tahlil Imaan pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Blok D PPR Kerinchi, Pantai Dalam.

[Recap 2018] 2 Beradik Meninggal Selang 5 Hari Dengan Cara Sama. Bapa Dedah Doa Anak Termakbul
Kenangan mereka sekeluarga menunaikan umrah dua tahun lalu.

 

IKLAN

Lebih syahdu dan jarang sekali terjadi, Alias menjadi orang pertama yang menyaksikan anaknya maut kemalangan. Dia yang sedang memandu bas telah melalui susur lebuhraya NPE dari Kuchai ke Pantai Dalam.

“Waktu itu 4.40 petang. Saya bawa pemain hoki ke stadium Jalan Duta kerana mereka ada latihan padang. Kemalangan baru terjadi lebih kurang 10-15 minit. Dari atas bas saya ternampak motosikal Adam. Saya sangka hanya kemalangan biasa. Selepas parking bas, saya mula menghampirinya. Bila saya memaklumkan motosikal itu milik anak, seorang pekerja NPE telah memeluk saya dan meminta bertenang. Katanya anak saya sudah meninggal dunia dan tercampak di laluan sebelah.

“Memang menggigil lutut ketika itu. Saya peluk jenazah anak. Saya ambil kain pelikat dari dalam bas untuk menutup jenazahnya. Saya ambilkan juga payung lalu saya memayungi tubuhnya. Selepas itu, saya hubungi isteri, anak-anak dan paling akhir saya hubungi Imaan,” katanya memaklumkan jarak rumahnya dan lebuhraya NPE itu agak dekat, lebih kurang 5-10 minit perjalanan.

Kongsi Alias lagi, di saat dia masih dalam kesedihan, Imaan tiba di lokasi kejadian.

“Dia terus menendang benda-benda disekelilingnya kerana terlalu sedih dengan kematian adik yang cukup rapat dengannya. Ketika itu saya mendengar dia menjerit dalam nada yang kuat “YA ALLAH, KENAPA KAU TARIK NYAWA ADIK AKU YA ALLAH, TARIKLAH NYAWA AKU YA ALLAH’.

“Saya terus peluk Imaan. Saya katakan kepadanya, kalau dia sebagai abang rasa sedih, saya sebagai ayah lagi sedih. Saya tenangkan Imaan dan meminta dia beristigfar banyak-banyak,”katanya memaklumkan anak keempatnya, Adam Iqmal Najmi, merupakan pelajar Politeknik Port Dickson dan berada di Semester 2. Malah dia memaklumkan, anaknya meninggal akibat patah leher.

[Recap 2018] 2 Beradik Meninggal Selang 5 Hari Dengan Cara Sama. Bapa Dedah Doa Anak Termakbul
Keduanya dikebumikan saling berdekatan, kepala bertemu kaki.

Imaan tidak pernah tidur di rumah

Mungkin terkesan kerana keduanya pernah belajar di pusat tahfiz bersama serta hubungan yang agak rapat kerana malam sebelum Adam meninggal itu, keduanya duduk bermain games di dalam bilik, kata Alias, selepas anak keempatnya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kerinchi C2 Kuala Lumpur, Imaan dilihat seperti menjauhkan diri dari keluarga.

“Saya sendiri tidak tidur. Kadang bila mesej dan  bertanya mengapa dia tak balik ke rumah pada jam 4 pagi, Imaan membalas dengan cepat memaklumkan  dia ada di sekitar kawasan tempat tinggal kami. Duduk rumah kawan dan sebagainya. Jadi saya tahu, dalam tempoh adiknya baru meninggal dunia itu, Imaan tidak tidur dan dia mungkin keletihan.

IKLAN

Jelas Alias lagi, sekuat mana dia cuba menerima takdir ditetapkan tetapi selepas dimaklumkan oleh anggota polis yang Imaan meninggal pada Ahad, 31 Disember itu, dia terduduk sambil meraung.

“Malam sebelum itu, 30 hb (Sabtu) kami sekeluarga baru selepas buat kenduri tiga hari untuk arwah Adam. Alhamdulillah, duit orang sedekah agak banyak. Kami sekeluarga sepakat mahu menyedekahkan kembali itu pada pusat tahfiz yang Adam pernah belajar. Buatkan hajinya, korban dan lain-lagi.

“Selepas selesai berbincang dengan ahli keluarga, Imaan keluar lagi. Saya sendiri tak sangka dia akan ikut grup motor ke Port Dickson. Kawan baiknya, Hambali baru beli motor Y 115, warna biru sama seperti arwah Adam miliki. Baru saja keluar manakala Hambali naik motor lamanya.

“Selama ini anak saya tak pernah konvoi motor dan itulah kali pertama. Dia pergi begitu saja, seolah-olah ingin membawa diri. Andai ada sesuatu terjadi padanya, mungkin sudah tiada rindu lagi.

[Recap 2018] 2 Beradik Meninggal Selang 5 Hari Dengan Cara Sama. Bapa Dedah Doa Anak Termakbul

Kata Alias lagi, pagi Ahad itu, 31 Disember, dia mengambil keputusan pergi memotong rumput di sebuah masjid, kebiasaan dilakukannya.

“Bila saya baru nak memotong, isteri telefon. Dia cakap ada polis datang ke rumah memaklumkan yang Imaan ditemui sudah meninggal dunia di lebuhraya Elite. Saya terduduk lama atas tanah. Meraung. Tak tahu nak cakap apa lagi.

IKLAN

“Doa anak saya dimakbulkan Allah. Ketika melihat jenazah adiknya, dia bertanya kenapa tidak nyawanya diambil. Walau sedih saya tahu, Allah mendengar doanya,” katanya dalam nada sebak.

Duduk dikelilingi ahli keluarga ini, penulis akui bukan mudah dengan penderitaan dilalui. Sangat memedihkan.

Dalam pada itu, kakak sulung arwah, Nur Fatin Amira, 25, berkata, sewaktu di hospital menunggu mayat adiknya dibedah siasat. Dari cerita kawan-kawan yang mengikuti konvoi berkenaan, mereka tidak jadi ke Port Dickson kerana seorang dari ahli kumpulan kemalangan jalan raya dan patah kaki.

“Mereka patah balik ke Senawang. Dari Senawang inilah mereka mulai berpecah. Adik saya hanya berdua dengan kawannya Hambali. Tiba di persimpanan Nilai, ada sekumpulan motosikal berhenti di situ. Mungkin Imaan keliru kerana dia menyangka itu konvoinya lalu masuk ke situ. Hambali pula teruskan perjalanan.

“Bila sampai rumah, dia tak sedap hati dan patah semula tapi tak jumpa adik pun. Sampailah polis datang ke rumah sekitar jam 7 lebih maklumkan yang adik sudah meninggal dan ditemui keseorangan oleh orang ramai di tepi highway itu,” katanya memaklumkan dia lima beradik iaitu Luqman Hakim, 24, Imaan Al-Imran, 21, Adam Iqmal Najmi, 18 dan Nazatul Hazani, 17, remaja istimewa yang sangat rapat dengan arwah Adam kerana Adamlah yang selalu menghantar adiknya berulang-alik ke sekolah.

Semasa pertemuan Remaja itu, ketua di bahgian Human Resources Maybank, Puan Nora turut menziarahi ahli keluarga ini dan menyampaikan salam takziah sebagai tanda simpati di atas kejadian yang menimpa.

[Recap 2018] 2 Beradik Meninggal Selang 5 Hari Dengan Cara Sama. Bapa Dedah Doa Anak Termakbul
Puan Nora (berbaju hitam / putih) bersama sebahagian kakitangan Maybank yang datang menziarahi.

Semoga roh dua beradik ini dimasukkan ke dalam golongan beriman dan dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah.

TONTON VIDEO DI BAWAH INI

*****

Kami doakan agar keluarga Encik Alias Ahmad diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya Allah lebih sayangkan mereka. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah..

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI