
Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang semakin memuncak akhirnya menunjukkan sedikit ruang damai apabila Presiden Donald Trump bersetuju untuk menangguhkan serangan ketenteraan selama dua minggu, dengan syarat Iran membuka semula Selat Hormuz.
Keputusan dramatik itu dibuat hanya kira-kira 90 minit sebelum tarikh akhir serangan besar-besaran yang sebelum ini diancam Trump.
Dalam kenyataan di media sosial, beliau menegaskan bahawa penangguhan ini bergantung kepada tindakan Iran untuk memastikan pembukaan laluan strategik Selat Hormuz secara penuh, segera dan selamat.
Jika syarat tersebut dipenuhi, kedua-dua pihak dijangka melaksanakan gencatan senjata dua hala buat sementara waktu, sekali gus memberi ruang kepada rundingan damai yang lebih tersusun.
Perkembangan ini turut dipengaruhi usaha diplomatik oleh Pakistan, yang memainkan peranan sebagai orang tengah bersama beberapa negara lain termasuk Mesir dan Turki. Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sebelum ini merayu agar lebih masa diberikan untuk rundingan diteruskan.
Susulan itu, delegasi Amerika Syarikat dan Iran dijangka bertemu di Islamabad dalam masa terdekat bagi membincangkan penyelesaian konflik. Dalam tempoh ini, isu pembukaan Selat Hormuz menjadi fokus utama kerana kepentingannya terhadap perdagangan global.
Pihak Iran melalui kenyataan yang dikaitkan dengan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi menyatakan kesediaan untuk menghentikan operasi ketenteraan defensif jika serangan terhadap negara itu dihentikan sepenuhnya.
Sepanjang tempoh dua minggu ini juga, Iran memberi jaminan bahawa laluan melalui Selat Hormuz akan dibuka semula dengan penyelarasan bersama pihak tenteranya. Langkah ini dilihat sebagai isyarat positif ke arah meredakan konflik yang semakin tegang.
Walaupun perkembangan ini memberi harapan, rundingan masih berada pada tahap sensitif. Amerika Syarikat sebelum ini menuntut Iran menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistik, selain menghentikan sokongan kepada kumpulan proksi.
Sebaliknya, Iran menuntut penamatan perang secara kekal, penghapusan sekatan ekonomi, serta kawalan berterusan ke atas Selat Hormuz, termasuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya.
Dalam masa sama, Israel masih belum memberikan reaksi rasmi terhadap pengumuman tersebut. Kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu sebelum ini memberi bayangan bahawa mereka tidak akan menghentikan serangan sehingga objektif ketenteraan tercapai.
Ketiadaan pendirian jelas dari Israel menambah ketidakpastian terhadap masa depan rundingan, walaupun usaha diplomasi sedang giat dijalankan.
Situasi semasa menunjukkan konflik ini kini berada dalam fasa “pause”, bukan penamat. Dengan tempoh dua minggu diberikan, tumpuan dunia kini terarah kepada hasil rundingan diplomatik.
Apa yang pasti, keputusan berkaitan Selat Hormuz bukan sekadar isu serantau, tetapi memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi global dan laluan perdagangan utama dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.