
Tiada yang lebih meruntun jiwa selain melihat seorang anak kecil terpaksa berdepan kehilangan insan paling disayangi. Dalam sekelip mata, dunia yang sebelum ini terasa lengkap bertukar kosong tanpa amaran.
Itulah detik yang terpaksa disaksikan seorang guru apabila murid Tahun Empat di bawah jagaannya diuji dengan pemergian ibu tercinta.
Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Threads @fajaraliefah, guru berkenaan menceritakan pengalaman paling berat sepanjang bergelar pendidik apabila menerima berita bahawa ibu kepada salah seorang muridnya telah meninggal dunia.
Menurutnya, murid lelaki itu masih duduk tenang di tempatnya, langsung tidak mengetahui bahawa hidupnya bakal berubah dalam sekelip mata.
Sepanjang perjalanan pulang, kanak-kanak berusia 10 tahun itu lebih banyak berdiam diri, seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang tidak kena.
Setibanya di rumah, suasana sudah dipenuhi orang ramai yang sedang membaca surah Yasin. Murid tersebut mula memandang gurunya seperti mengharapkan jawapan. Namun apabila seorang ahli keluarga memeluknya sambil menangis, barulah dia memahami hakikat sebenar.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mempelajari solat jenazah dan tidak mengambil ringan soal pengurusan kematian.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai apabila ruangan komen dibanjiri reaksi sebak warga maya. Seorang pengguna turut meluahkan kebimbangan sebagai pesakit kanser tentang masa depan anak-anaknya sekiranya sesuatu berlaku ke atas dirinya.
Pemilik akaun berkenaan kemudian membalas dengan doa agar wanita tersebut diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.