
Ketika kebanyakan penghantar makanan memilih menggunakan motosikal untuk memudahkan urusan menghantar pesanan, seorang ibu tunggal, Nur Rahimah Alia Salehuddin pula memilih untuk berjalan kaki atau menunggang basikal demi mencari rezeki buat anaknya.
Nur Rahimah yang merupakan individu autisme serta orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, dia sudah terbiasa menggalas beg penghantaran walaupun perlu menempuh jarak yang jauh ketika menjalankan tugas.
Malah, dia pernah berjalan kaki sehingga kira-kira 20 kilometer semata-mata untuk menghantar makanan kepada pelanggan.
“Kalau dapat kerja dua hingga tiga jam saja saya sudah bersyukur, itu yang saya boleh buat kerana sekarang jadual penghantaran tidak banyak,” katanya.
Menurut Nur Rahimah, dia pada awalnya melakukan kerja penghantaran dengan berjalan kaki sebelum menerima sebuah basikal menerusi satu program pada penghujung 2020.
Basikal tersebut banyak membantunya untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain ketika menghantar pesanan.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidak dapat digunakan lagi selepas basikal lipat miliknya dicuri baru-baru ini, menyebabkan dia terpaksa kembali berjalan kaki untuk meneruskan pekerjaan.
“Saya selalu menggunakan basikal atau berjalan kaki untuk menghantar makanan tapi baru-baru ini, basikal lipat saya dicuri jadi saya terpaksa menghantar makanan berjalan kaki semula.
“Basikal itu dicuri walaupun saya sudah menguncinya berhampiran MRT (transit aliran massa) Surian. Kunci basikal itu dipotong dan hanya rantainya yang tinggal,” katanya lagi.
Sebelum bergelar penghantar makanan, Nur Rahimah sebenarnya mempunyai pengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan pengujian perisian.
Namun, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada 2018 bagi menjaga ibunya yang ketika itu sedang sakit sebelum ibunya meninggal dunia pada 2020.
Selepas itu, Nur Rahimah mula menceburi pekerjaan sebagai penghantar makanan pada tahun sama selepas usahanya mendapatkan pekerjaan dalam bidang lain tidak membuahkan hasil.
“Saya mula kerja sebagai penghantar makanan pada 2020 selepas banyak kali cuba cari kerja dalam bidang lain, tetapi tidak berhasil sehingga kini. Mungkin sebab mereka tengok saya OKU.
“Selepas itu, saya mendapati semakin sukar mendapatkan pekerjaan tetap semula, malah ada permohonan ditolak kerana dianggap terlebih kelayakan,” tambahnya.
Berkongsi mengenai dirinya pula, Nur Rahimah berkata dia disahkan sebagai individu autisme ketika sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
Dia pernah berdepan pengalaman dibuli ketika berada di kampus pada 2003, sebelum kemudiannya mengetahui mengenai keadaan autisme yang dialaminya.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia kadangkala berdepan kesukaran untuk memahami gurauan, sindiran atau sesuatu perkara yang disampaikan secara tersirat oleh orang lain.
“Saya bukan tidak boleh bergurau, tapi sukar untuk memahami maksud tersirat yang disampaikan orang lain,” ujarnya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Nur Rahimah masih meneruskan pekerjaan sebagai penghantar makanan bagi menyara kehidupan dan keluarganya.
Pada masa sama, dia turut berharap dapat memperoleh pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman serta kelayakan yang dimilikinya.
Buat masa ini, kerja penghantaran makanan menjadi antara cara yang masih boleh dilakukannya untuk meneruskan kehidupan sambil terus mencari peluang pekerjaan yang lebih stabil.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.