Berita

Taanusiya Chetty Sedia Terjun Dunia Lakonan, Tak Tolak Tawaran Drama

Share

mencipta kejayaan membanggakan dengan meraih tempat ketiga Miss World Asia 2026, Taanusiya Chetty kini bersedia membuka langkah baharu dalam dunia hiburan.

Pemilik nama penuh Taanusiya Chetty, 26, atau lebih mesra disapa Taanu itu mengakui mempunyai minat terhadap bidang lakonan dan menyimpan impian untuk bergelar pelakon.

Menurutnya, dia tidak akan menolak sekiranya menerima peluang daripada mana-mana penerbit yang yakin dengan bakat serta kebolehannya.

Pernah Ditawarkan Berlakon Drama

Bukan sekadar menyimpan impian, Taanusiya mendedahkan dia sebenarnya pernah menerima tawaran daripada sebuah syarikat produksi untuk membintangi drama sebelum menyertai Miss World Asia 2026.

Bagaimanapun, tawaran tersebut terpaksa ditolak dengan baik kerana dia bimbang komitmen terhadap kontrak berkenaan akan mengehadkan ruangnya untuk memberikan komitmen seperti yang diharapkan.

Kini, selepas selesai menyertai pertandingan berkenaan, Taanusiya mengakui dirinya lebih terbuka untuk mencuba peluang dalam industri hiburan tempatan.

“Selepas ini kalau ada peluang (berlakon) saya tidak akan cakap tak kerana nak cuba masuk dalam industri hiburan Melayu dahulu dan berlakon dalam drama tempatan.

“Kalau ada tawaran berlakon muzik video (MV) pun saya okay. Ayah pun tak ada halangan dan okay saja walaupun dulu tidak.

“Emak pula bila okay (izinkan), ayah tak okay tapi saya pun ada degilnya juga jika mahukan sesuatu,” katanya.

Terima Jika Disamakan Dengan Sharifah Haneesya

Dalam perkembangan sama, Taanusiya turut mengulas mengenai pandangan segelintir warganet yang menyifatkan wajahnya mempunyai persamaan dengan pelakon dan model, Sharifah Haneesya.

Tidak melihat perbandingan itu sebagai sesuatu yang negatif, Taanusiya menerimanya dengan hati terbuka malah menganggap persamaan tersebut sebagai satu pujian.

“Tak mengapa (disamakan) dan saya pun tahu mengenainya kerana ada terbaca komen di media sosial.

“Pernah satu hari, ada seorang individu datang tegur saya kemudian kata dia jumpa saya semalam sedangkan tidak.

“Saya rasa mungkin kami ada iras sedikit pada bahagian mata tapi saya okay saja (disamakan) dan anggap ia satu pujian kerana Haneesya gadis yang cantik,” katanya.

Raih Tempat Ketiga Miss World Asia 2026

Terdahulu, Taanusiya melakar kejayaan membanggakan apabila meraih tempat ketiga pada pertandingan akhir Miss World Asia 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam pada 6 September lalu.

Pencapaian tersebut sekali gus menyaksikan Taanusiya mengulangi kejayaan negara yang dicatatkan 28 tahun lalu.

Selepas berada di Vietnam selama enam minggu, Taanusiya akhirnya tiba di tanah air pada petang Sabtu lalu.

Kepulangannya turut disambut meriah oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, rakan-rakan serta ratusan penyokong.

Lebih manis, mereka hadir dengan membawa pelbagai hadiah dan jambangan bunga sebagai tanda sokongan serta meraikan kejayaan Taanusiya di pentas antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: BH Online

Published by
Fath