
Aktor versatil, Nadhir Nasar menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia drama meskipun kini semakin aktif menerokai filem dan karya untuk platform penstriman seperti over-the-top (OTT).
Menurut pelakon berusia 30 tahun itu, drama mempunyai kedudukan tersendiri dalam perjalanan karier seninya, malah medium tersebut menjadi antara ruang penting untuk dirinya terus mengasah kemahiran lakonan.
Jelas Nadhir, pengalaman membintangi drama banyak membantunya membina asas sebagai pelakon sebelum membawa karakter ke layar yang lebih besar.
“Saya tidak akan tinggalkan drama. Saya suka berlakon drama kerana bagi saya, itu antara tempat untuk mengasah lagi bakat lakonan sebelum dibawa ke filem dan skrin besar.
“Saya seronok buat drama dan paling saya suka apabila dapat melihat ibu menonton lakonan saya di kaca televisyen.
“Ramai juga peminat yang masih mengikuti drama saya. Bagi saya, drama sangat penting kerana masih ada makcik-makcik yang suka tengok drama saya,” katanya.
Dalam pada itu, bekas peserta Hero Remaja itu turut mengulas mengenai kecenderungan sesetengah pelakon baharu yang lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada filem atau karya OTT.
Bagi Nadhir, perkara tersebut merupakan pilihan peribadi setiap pelakon dan banyak bergantung kepada rezeki serta kesesuaian sesebuah tawaran dengan diri mereka.
“Bagi saya, pilihan masing-masing dan semuanya bergantung kepada rezeki. Saya masih terbuka untuk buat drama, filem atau OTT kalau naskhah itu bagus dan kena dengan diri saya.
“Kalau sekadar mahu buat filem tetapi karakter itu tidak sesuai dengan kita, untuk apa? Ada ramai pelakon di luar sana yang mungkin boleh membawakan karakter itu dengan lebih baik.
“Jadi, saya rasa setiap orang ada pilihan dan rezeki masing-masing untuk menentukan di mana mereka mahu berada,” ujarnya.
Bagi Nadhir, apa yang lebih penting adalah memastikan sesuatu karya dan karakter yang dipilih benar-benar bersesuaian dengan dirinya, tanpa mengira sama ada ia hadir menerusi drama, filem mahupun platform penstriman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.