
Kisah pemergian Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, sebelum ini cukup mengundang kemarahan ramai apabila beliau maut selepas dirempuh pemandu dipercayai mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah.
Dalam sekelip mata, seorang suami dan bapa kepada tiga orang anak pergi meninggalkan keluarga, menjadikan tragedi ini antara yang paling menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
Di sebalik kesedihan itu, perhatian mula terarah kepada keluarga yang ditinggalkan seorang isteri dan anak-anak kecil yang masih dalam fasa membesar.
Ramai yang mengikuti perkembangan kes ini bukan sahaja kerana keadilan yang dituntut, tetapi juga kerana simpati terhadap nasib keluarga arwah yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa figura utama dalam keluarga.
Pendakwah bebas, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail, tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga arwah. Walaupun tidak besar dari segi nilai, apa yang diberikan jelas datang dengan niat ikhlas untuk menceriakan anak-anak yang sedang melalui detik sukar.
“Saya nak bagi happy sikit. Bantuan yang mana boleh lah, kita beli dua,” katanya.
Menurutnya, selepas bertanya sendiri keperluan keluarga tersebut, dia dimaklumkan bahawa mereka memerlukan susu Dutch Lady serta botol susu untuk anak bongsu yang masih kecil.
“Saya dah tanya dia cakap nak pakai apa, dia kata susu Dutch Lady dengan botol susu untuk anak yang kecil,” ujarnya lagi.
Selain itu, PU Riz turut menghadiahkan tiga buah basikal untuk anak-anak arwah satu usaha kecil yang cukup bermakna untuk menceriakan mereka. Dalam situasi kehilangan, detik kegembiraan seperti ini sedikit sebanyak mampu mengubat kesedihan yang dirasai.
Bantuan seperti ini bukan sahaja memberi kegembiraan sementara, tetapi juga menjadi simbol bahawa masih ada insan yang mengambil berat tentang kebajikan mereka.
Perkongsian tersebut nyata mendapat perhatian ramai di media sosial. Rata-rata netizen mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan, selain mendoakan agar segala urusan PU Riz dipermudahkan.
Walaupun bantuan yang diberikan tidaklah besar, ramai berpendapat ia sudah cukup untuk menggembirakan keluarga mangsa, khususnya anak-anak yang masih kecil dan sedang menyesuaikan diri dengan kehilangan insan tersayang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.