
Ketika kebanyakan pelajar PhD menamatkan pengajian dalam suasana selesa dengan akses elektrik dan internet stabil, Mohammed Fadil melakukannya dalam keadaan yang jauh berbeza dari Gaza yang sedang bergolak dan dihimpit konflik.
Pada 3 Februari 2026, beliau berjaya mempertahankan tesis Doktor Falsafah (Keusahawanan) di Universiti Utara Malaysia (UUM) secara dalam talian dan lulus dengan Pembetulan Kecil (Minor).
Sesi viva itu tidak berlangsung di kampus, sebaliknya di sebuah bilik pinjaman dengan kemudahan terhad, bekalan elektrik yang tidak menentu dan internet yang boleh terputus pada bila-bila masa.
“PhD ini bukan untuk saya seorang. Ini untuk Gaza,” katanya dengan suara bergetar.
“Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan UUM kerana tidak pernah memutuskan harapan saya.”
Perjalanan akademiknya bermula pada tahun 2021 apabila beliau menerima Malaysian International Scholarship (MIS) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melanjutkan pengajian di UUM.
Pada 2022, selepas melalui perjalanan sukar keluar dari Gaza, beliau tiba di Malaysia dan memulakan pengajian di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Norashidah Hashim serta Dr. Maliani Mohamad.
Ketika itu, impiannya jelas menyelesaikan pengajian dan kembali berbakti kepada tanah airnya. Namun takdir membawa ujian yang jauh lebih besar daripada jangkaan.
Segalanya berubah apabila konflik besar tercetus pada 7 Oktober 2023 selepas beliau kembali ke Gaza.
Rumah keluarganya musnah sepenuhnya akibat serangan. Ramai ahli keluarga dan rakan terkorban. Dalam tempoh beberapa bulan, beliau terpaksa berpindah lebih 10 kali demi keselamatan diri.
“Dalam keadaan itu, PhD seolah-olah tidak lagi penting. Yang penting hanyalah untuk terus hidup,” katanya.
Situasi inilah yang menjadikan kisah ini benar-benar menyentuh hati. Dalam suasana letupan dan kehilangan, beliau masih menggenggam harapan melalui pendidikan.
Walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan, beliau tidak pernah benar-benar berhenti. Sebuah komputer riba yang berjaya diselamatkan daripada runtuhan menjadi satu-satunya aset akademiknya. Dengan peranti itulah beliau menulis, menyunting dan menyiapkan tesis.
Ada ketika beliau berjalan berkilometer merentasi kawasan berbahaya semata-mata untuk mencari tempat yang mempunyai bekalan elektrik bagi mengecas komputer riba.
Untuk mendapatkan capaian internet pula, beliau terpaksa mencari lokasi yang mempunyai isyarat mencukupi untuk menghantar draf kepada penyelia di Malaysia.
Menjelang 2024, tesis beliau berjaya disiapkan sepenuhnya. Tesis tersebut bertajuk Entrepreneurship Education On Entrepreneurial Success: The Role of Mentoring and Political Uncertainty in the Gaza Strip–Palestine.
Apabila tiba waktu viva, sempadan Gaza masih ditutup sepenuhnya. Atas pertimbangan kemanusiaan, pihak UUM membenarkan sesi viva dijalankan secara dalam talian.
Ia menjadi detik mendebarkan kerana gangguan elektrik atau internet boleh berlaku pada bila-bila masa.
Namun sesi tersebut berjalan lancar. Ketika keputusan diumumkan, suasana di bilik viva di Sintok bertukar sebak.
Penyelia dan pemeriksa tidak mampu menahan air mata melihat ketabahan luar biasa seorang pelajar yang mempertahankan tesis dari zon perang.
Bagi Mohammed Fadil, gelaran doktor falsafah itu bukan sekadar pencapaian peribadi. Ia adalah simbol bahawa ilmu dan harapan masih mampu hidup walaupun di tengah kemusnahan.
Di tengah runtuhan dan kehilangan, beliau memilih untuk terus menulis, terus belajar dan terus percaya bahawa ilmu mampu menjadi cahaya paling terang dalam kegelapan.
Sumber : Official FB Universiti Utara Malaysia (UUM)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.