Berita

Pecah Rekod Selepas 10 Tahun, Tiga Anak Orang Asli Kelantan Cipta Sejarah Ke SBP -“Saya Nak Jadi Cikgu!”

Share

Siapa sangka, selepas hampir sedekad tiada kemasukan pelajar daripada komuniti Orang Asli ke sekolah berasrama penuh (SBP), tahun ini mencipta detik baharu yang cukup membanggakan.

Tiga anak Orang Asli dari Kelantan berjaya melakar sejarah tersendiri apabila ditawar melanjutkan pelajaran ke SBP, sekali gus memecah rekod selepas 10 tahun tiada kemasukan pelajar daripada komuniti itu.

Tiga pelajar berusia 13 tahun tersebut ialah Muhamad Putra Faizul Ab Ghani, Nur Muhammad Al-Khawarizmi Rosmi dan Nor Cristina A/P Ranya yang dijadualkan memulakan sesi persekolahan pada 23 Februari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad, kali terakhir pelajar Orang Asli memasuki SBP adalah kira-kira sedekad lalu.

“Kita di JPN Kelantan sangat bangga dengan kejayaan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan tiga pelajar ini membuktikan bahawa dengan peluang yang adil serta sokongan berterusan, tiada yang mustahil untuk dicapai.

Difahamkan, dua pelajar ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, manakala seorang lagi ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

Dalam memastikan perjalanan mereka bermula dengan lancar, Kementerian Pendidikan turut menanggung kos pendaftaran ketiga-tiga pelajar berkenaan.

Lebih menyentuh hati, Muhamad Putra Faizul yang merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Rualberharap kejayaannya menjadi pembakar semangat buat anak-anak Orang Asli lain.

Sebagai anak sulung daripada dua beradik, dia menyimpan cita-cita besar untuk berjaya dalam pelajaran dan membuktikan bahawa pelajar daripada komuniti Orang Asli juga mampu bersaing dalam bidang akademik, sekiranya mempunyai tekad dan kesungguhan untuk berjaya.

“Saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini untuk mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu agar dapat menabur bakti dan membantu anak bangsa untuk berjaya kelak,” katanya.

Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada lebih ramai anak Orang Asli untuk berani bermimpi dan melangkah lebih jauh.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath