
Seorang warga emas yang juga pesara guru hanya mampu berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM225,000 selepas diperdaya sindiket ‘love scam’ yang menyamar sebagai artis K-Pop iaitu Lee Min-ho.
ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan Jemputan Kenduri Kahwin, Rupanya Taktik Baru ‘Scammer’ Untuk Kebas Duit Anda!

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, wanita berusia 74 tahun itu mengenali suspek yang menggunakan identiti bintang Korea Selatan itu pada tahun lalu menerusi Facebook.
Menurutnya, sepanjang mengenali suspek, mereka hanya berhubung melalui ‘messenger’ di dalam aplikasi media sosial tersebut.

“Pada Oktober lalu, suspek mula meminta mangsa memasukkan wang kepadanya dengan alasan dia mempunyai kes perbicaraan di mahkamah.
“Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia memerlukan jumlah wang yang banyak untuk lepas daripada kes tersebut,” katanya.
Mohd. Adli memberitahu, simpati dengan nasib artis K-Pop pujaannya itu, mangsa membuat enam pemindahan wang sebanyak RM225,000 ke dalam satu akaun dalam tempoh dua bulan sehingga bulan ini.

Menurutnya, selepas membuat pemindahan wang itu, wanita tersebut baru menyedari bahawa dia sudah ditipu.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini kelmarin,” katanya.

Tambah Mohd. Adli, polis sedang mengesan sindiket yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
BACA LAGI: ‘Menang’ Hadiah Cabutan Bertuah iPhone 12 Pro Max, Remaja Kena Scam RM26,200
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Kosmo
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Siri Animasi Sailor Moon Kini Ditayangkan Di YouTube Secara Percuma Di Jepun

Berita baik untuk penggemar siri animasi Sailor Moon, kartun popular era 90-an ini khabarnya akan ditayangkan secara percuma di laman YouTube rasmi Sailormoon-official.
Menurut Theverge, 10 episod siri animasi ini akan ditayangkan mulai 24 April 2020 dan jumlah keseluruhannya mempunyai 127 episod bersamaan lebih kurang 3 musim sehingga akhir Julai nanti.
Tayangan siri Sailor Moon ini disiarkan secara percuma di YouTube adalah kerana berikutan situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Pihak produksi memberi peluang kepada penonton untuk menonton siri animasi ini di rumah, selama berada dalam tempoh lockdown.
Selain itu juga, khabarnya usaha ini turut dilakukan sempena pelancaran filem Sailor Moon yang berjudul Pretty Guardian Sailor Moon Eternal yang dijadualkan bakal ditayangkan di Jepun pada 11 September 2020.
Pretty Guardian Sailor Moon Eternal adalah adaptasi daripada kisah siri animasi musi keempat. Jadi, sekiranya korang menonton musim pertama, kedua dan ketiga, maka korang akan lebih faham jika menonton filem itu nanti.

Walau bagaimanapun, khabarnya siri animasi ini hanya ditayangkan di Jepun. Ala, baru nak syok tengok Sailor Moon. Hm, tidak mengapalah mungkin selepas ini mereka akan membuka akses kepada seluruh dunia dengan sari kata bahasa Inggeris. Korang komen la di YouTube Sailor Moon-official untuk beri tayangan di Malaysia juga. Hiks!
Siapa yang menetap di Jepun tu, bolehlah menonton..
Sumber: Theverge
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Adakah Kita Dilindungi Sebagai Pemberi Maklumat? Pendedahan Peguam Ini Pasti Mengejutkan

Sehari dua ini Malaysia digegarkan dengan pendedahan berani Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali Asri Janggut mengenai isu perjudian di Sungai Buloh selain kegiatan jualan rokok seludup yang dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa. Pengasas Hot Burger ini jelas tampil berani merakam video wujud pilih bulu melibatkan pihak berkuasa tempatan yang menyita gerai-gerai peniaga kecil tempatan dan membiarkan orang luar bebas berniaga termasuk kedai judi yang tiada tindakan diambil.
Ramai menyifatkan Abang Hot Burger ini sebagai hero kerana berani (kita mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia berani mendedahkan kegiatan salah guna di kalangan pihak berkuasa).
Insiden ini menjadi panas hingga mendapat perhatian dari Ketua Polis Negara yang mengadakan pertemuan dengan Asri Janggut semalam. Malah Ketua Polis Selangor menegaskan bahawa Asri Janggut tidak akan dipanggil bagi merakam percakapan kerana beliau pemberi maklumat dan bukan pesalah.
Dalam pada itu, kita pasti tertanya-tanya adakah pemberi maklumat dilindungi oleh undang-undang? Pendedahan dari peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinnai & Co mengenai pemberi maklumat ini sesuatu yang perlu kita fahami sebelum bertindak menyalur maklumat ke saluran yang tepat.

Adakah pemberi maklumat di Malaysia ini ada undang-undang yang melindungi? Kita semua pun jadi tertanya-tanya berkenaan kes Abang burger, apa kedudukan pemberi maklumat.
Kes ini mungkin menjadi contoh kepada yang lain tentang isu sejauh mana pemberi maklumat dilindungi. Semua hendak tahu.
Di Malaysia kita ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (AKTA 711). Nama pun Akta perlindungan dan memang jelas di bawah Akta ini banyak, seksyen yang memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat. Misalnya:
Bahagian III Akta, semua hal berkaitan Pelindungan pemberi maklumat.
Seksyen 7, Perlindungan pemberi maklumat.
Seksyen 8, perlindungan ke atas maklumat sulit yang diberikan.
Seksyen 9, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah. Banyak lagi.
Ibarat kalau kita baca Akta 711, percayalah kita bahawa kedudukan kita sebagai pemberi maklumat ini terlindung. TETAPI tidak juga sebenarnya, kerana ada kes di mahkamah yang diputuskan apabila pemberi maklumat gagal memenuhi elemen dan syarat dibawah Akta ini, maka pemberi maklumat tidak layak mendapat perlindungan.
Apa pula ikut syarat dan tak ikut syarat untuk dapat perlindungan ni?
Apa syarat-syarat menjadi pemberi maklumat yang layak dilindungi di bawah Akta ini?
Yang ini saya akan rujuk kepada kes Rokiah Mhd Noor v. Menteri Perdagangan dalam Negeri & Koperasi Kepenggunaan Malaysia & lain-lain [2016] 8 CLJ 635.
Dalam kes ini, Plaintif yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Suruhanjaya Syarikat Malaysia ('SSM') dan seorang lagi telah didakwa bersama-sama mengarang sepucuk surat kepada pihak ketiga termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bersifat biadab dan mengandungi dakwaan-dakwaan yang memudaratkan SSM.
Akibatnya kedua-dua mereka telah diambil tindakan displin dan Rokiah ditamatkan kontrak perkhidmatannya.
Oleh demikian, Rokiah membawa kes ini ke mahkamah bagi semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan tindakan displin dan penamatan kontrak terhadapnya dan menggunakan perlindungan di bawah Seksyen 10 iaitu Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.
Mahkamah putuskan untuk menolak rayuan Rokiah, (maknanya dia tak berjaya guna pembelaan perlindungan bawah Akta 711), atas alasan Rokiah gagal memenuhi syarat sebagai pemberi maklumat di bawah Akta 711.
Ini ayat yang diputuskan oleh mahkamah guna
(4) Untuk mendapatkan perlindungan di bawah APPM, seseorang yang mendedahkan kelakuan tidak wajar mesti membuat pendedahan tersebut hanya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan bukan kepada orang lain.
Dalam kes ini, Rokiah dan seorang lagi tidak melayakkan diri sebagai pemberi maklumat kerana selain daripada mendedahkan salah laku ahli SSM dan Suruhanjaya Anti Rasuah, pendedahan itu juga dibuat kepada pihak ketiga dan tiada seorang daripada mereka adalah 'agensi penguatkuasa' mengikut pengertian Seksyen 2 Akta 711.
Oleh kerana kedua-dua Rokiah dan Azryain tidak melayakkan diri sebagai pemberi maklumat dalam pengertian APPM, mereka tidak berhak mendapat perlindungan di bawah Seksyen 10 Akta 711.
Maknanya begini jika berdasarkan kes ini, seseorang mestilah memberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan bukanlah kepada pihak lain.
Misalnya seseorang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan (Seksyen 6), pemberi maklumat mesti membuat aduan kepada penguatkuasaan seperti kementerian, jabatan, agensi atau badan yang dituduhkan oleh kerajaan persekutuan, polis dan segalanya yang jatuh bawah definisi Seksyen 2. Barulah layak mendapat pelindungan berdasarkan Akta 711 ini.
Malahan Seskyen 11 memperuntukkan bahawa pembatalan perlindungan bagi pemberi maklumat, antaranya dia sendiri terlibat dalam aktiviti tak elok yang dilaporkan atau laporan palsu atau remeh dan lain-lain.
Jadi untuk kita bandingkan dengan kes Abang Burger ini, laporan pendedahannya dibuat dalam video untuk tontonan umum. Jelas, dia tidak boleh menggunakan pelindungan bawah Akta 711 ini kerana pendedahan dibuat olehnya bukan lagi kepada badan seperti SPRM, PDRM, MBSA tetapi kepada awam.
Saya menulis ini dalam konteks undang-undang yang ada. Saya sendiri mengecam perbuatan rasuah, salah laku, tiada intergriti. Semoga negara kita bebas dari perbuatan rasuah ini.
Ramai yang melakukan rasuah kerana mereka anggap kalau mereka pandai sembunyi, perbuatan mereka tak diketahui tetapi mereka lupa Allah itu dan syurga neraka itu benar.
Ramai juga ambil rasuah, mereka fikir nanti mereka boleh bertaubat apabila tua tetapi mereka lupa mati itu tak mengenal usia.
Esok saya kongsi sama ada boleh atau tidak kita saman pihak penguatkuasa sebab gagal ambil tindakan perbuatan rasuah. Saya rujuk pada kes mahkamah juga.
Oleh Nor Zabetha
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bayar Zakat Fitrah Ikut Jenis Beras Dimakan? Selangor Sudah Perkenalkan Sejak 2018 Lagi

Di media sosial sudah mula bertebaran bayaran bagi zakat fitrah untuk negeri Selangor bagi tahun 2020 ini adalah mengikut jenis beras dimakan.
Sebagai contoh jika makan beras brasmathi dan beras mahal seperti Quinoa kadarnya antara RM14 dan RM21 di mana pembayar zakat perlu menjelaskan kepada amil jenis beras yang mereka makan. Bagi beras biasa yang dimakan oleh rakyat Malaysia jenis super tempatan, kadar ditetapkan adalah sebanyak RM7 sahaja seperti tahun sebelumnya.
Mungkin baru bagi kita dan agak sedikit pelik bunyinya tapi sebenarnya Lembaga Zakat Selangor sudah memperkenalkan kadar bayaran mengikut harga beras ini sejak tahun 2018 lagi. Walau kadar sudah ditetapkan iaitu sebanyak RM7 bagi seorang individu tetapi golongan berkemampuan digalakkan membayar lebih dari itu. Keputusan itu diambil bertepatan dengan kehendak hadis.
“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.”
Laporan Bernama hari ini memaklumkan, kadar zakat fitrah bagi Selangor tahun ini kekal RM7 seorang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop.
Beliau berkata kadar zakat fitrah itu ditetapkan berdasarkan harga semasa beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya diguna oleh masyarakat di negeri ini.
Bagi golongan berkemampuan pula katanya, mereka digalakkan untuk membayar kadar zakat fitrah sebanyak RM14 dan RM21 seorang mengikut jenis beras yang dimakan bagi diri sendiri dan tanggungan.
Bagaimanapun, disebabkan ramai umat Islam di Selangor terkesan kemampuan kewangannya susulan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mengikut kemampuan diri serta keluarga masing-masing.
“Menunaikan zakat fitrah adalah wajib bagi umat Islam namun jika tahap ekonomi individu itu terbatas ketika ini, mereka boleh membayarnya ikut kemampuan diri dan keluarga.
“Contohnya, jika keluarga ada empat orang tapi yang mampu untuk dibayar hanya dua orang, maka bayar dua orang saja,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan pelaksanaan PKP, pembayaran zakat fitrah dan zakat harta buat masa ini dilakukan secara dalam talian menerusi laman web ezakatPAY LZS atau secara perbankan internet Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB Bank, Bank Islam, Alliance Bank selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.
Saipolyazan berkata, bermula hari ini juga, pembayaran fidyah boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web ezakatPAY untuk memudahkan orang ramai melunaskannya dan bagi yang ingin membuat semakan penyata zakat, ia boleh dilakukan menerusi laman web https://ezo.zakatselangor.com.my.
Mengenai inisiatif LZS membantu golongan yang tidak mahir menggunakan internet bagi menunaikan zakat fitrah sekiranya tempoh PKP dilanjutkan lagi, beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat kesesuaian untuk melantik penolong amil fitrah bagi tujuan kutipan pembayaran itu.
“Kami sedang berbincang dengan MKN untuk mengutip zakat fitrah menerusi penolong amil fitrah dan jika diluluskan, kaedahnya tertakluk kepada garis panduan yang diberikan pihak berkuasa bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 menerusi cara kutipan ini,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan penolong amil fitrah yang dikemukakan dalam perbincangan dengan MKN juga hanya melibatkan golongan tidak berisiko tinggi dan tidak bergejala selain mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. Sumber : BERNAMA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

