
Kejadian tragis yang meragut nyawa Allahyarham Amirul Hafiz Omar di Klang akibat dirempuh pemandu mabuk dan positif dadah terus mendapat perhatian serius kerajaan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa, sambil menegaskan insiden seumpama itu adalah satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.
Susulan kejadian tersebut, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya kini sedang merangka cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi memperketatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.
Cadangan tersebut bukan sahaja melibatkan hukuman penjara, malah turut merangkumi keperluan untuk pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa. Langkah ini dilihat sebagai satu pendekatan lebih menyeluruh dalam memastikan keadilan kepada mangsa serta waris yang terkesan.
Menurut beliau, kerajaan sememangnya telah memperkenalkan pindaan undang-undang lebih tegas sebelum ini yang berkuat kuasa pada Oktober 2020, namun langkah tambahan dilihat perlu bagi memberi keadilan lebih menyeluruh kepada mangsa dan waris.
Di bawah Seksyen 44 APJ 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun, serta denda sehingga RM100,000 jika disabitkan kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan iaitu penjara antara 15 hingga 20 tahun, selain denda antara RM100,000 hingga RM150,000. Hukuman ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani kes melibatkan pemandu mabuk yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Cadangan mewajibkan pembayaran ganti rugi dilihat sebagai satu langkah penting dalam memastikan keluarga mangsa tidak terabai dari segi kebajikan dan keadilan.
Dalam banyak kes, kehilangan ahli keluarga akibat pemandu mabuk memberi kesan besar bukan sahaja dari segi emosi, malah juga kewangan.
Dengan adanya mekanisme ganti rugi, ia dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa selain memberi pengajaran kepada pesalah bahawa tindakan mereka mempunyai implikasi besar yang perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Anthony turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan dan sebarang bentuk kecuaian serius seperti ini perlu ditangani dengan tindakan tegas.
Kes melibatkan pemandu mabuk bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengorbankan nyawa individu lain yang tidak bersalah.
Beliau juga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempercepatkan siasatan kes tersebut agar kertas siasatan dapat segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Kita berharap mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Langkah mempercepatkan proses siasatan dan pendakwaan adalah penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan segera, sekali gus memberi mesej jelas bahawa kesalahan melibatkan pemandu mabuk tidak akan dipandang ringan.
Sumber : Kosmo
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.