
Nama Tan Sri Michelle Yeoh bukan lagi asing dalam industri perfileman antarabangsa. Dari pentas Asia ke Hollywood, perjalanan kariernya penuh dengan dedikasi, disiplin dan keberanian mencabar batas. Terbaharu, pelakon kelahiran Malaysia ini sekali lagi mengharumkan nama negara apabila bakal dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame.
Dikenali menerusi lakonannya dalam filem Wicked, Crazy Rich Asians dan Everything Everywhere All at Once
, pengiktirafan ini menjadi satu lagi pencapaian besar dalam kerjaya gemilangnya di pentas hiburan antarabangsa. Beliau akan menerima bintang tersebut dalam kategori Filem (Motion Pictures).Menurut laman web rasmi, pelakon berusia 63 tahun itu akan menerima bintang ke-2,836 di Hollywood Walk of Fame yang dianugerahkan oleh Hollywood Chamber of Commerce. Majlis perasmian akan berlangsung pada Rabu, 18 Februari, jam 11.30 pagi waktu Pasifik (19 Februari, 1 pagi waktu IST) di 6927 Hollywood Boulevard.
Pengiktirafan ini bukan sekadar simbol nama di laluan ikonik Hollywood, tetapi bukti konsistensi dan pengaruh besar Michelle Yeoh dalam industri perfileman dunia. Dari Malaysia ke pentas global, beliau membuktikan bahawa bakat Asia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bintang antarabangsa lain.
Inspirasi buat generasi muda? Sudah tentu. Kerjaya Michelle Yeoh adalah contoh jelas bahawa kerja keras, keberanian dan keyakinan terhadap diri sendiri mampu membuka jalan ke pentas dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.