Berita

“Saya Nak Teruskan SPM” -Kisah Inspirasi Pelajar SPM Raih 8A 1B Walau Bertarung Kanser Tulang

Share

Dalam dunia yang sering menguji kekuatan fizikal dan mental, kisah seorang remaja ini membuktikan bahawa semangat juang tidak mengenal batas.

Tekad seorang pejuang kanser tulang untuk meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A 1B yang diumumkan baru-baru ini.

Tak Jadikan Penyakit Sebagai Halangan

Aaron Darwisy Fakrulrazi, pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, membuktikan bahawa penyakit bukan penghalang untuk berjaya meskipun terpaksa melalui fasa rawatan kemoterapi yang perit sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Menurut ibunya, Norfardilawati, Aaron mula dikesan menghidap kanser tulang (Osteosarcoma) pada September 2025 selepas keputusan biopsi menunjukkan terdapat ketumbuhan pada bahagian bahu kanannya.

Tekad Teruskan SPM Walau Berdepan Risiko

“Doktor ortopedik sebenarnya mencadangkan supaya dia menangguhkan SPM, tetapi Aaron sendiri yang bertegas mahu meneruskannya walaupun sudah diterangkan mengenai risiko dan kesan rawatan.

“Sebagai ibu, saya sangat sebak melihat dia belajar sendiri di rumah kerana tidak dibenarkan berada di tempat sesak akibat antibodi yang lemah selepas kemoterapi,” katanya.

Lalui Detik Sukar Sepanjang Peperiksaan

Menceritakan cabaran sepanjang peperiksaan, ibunya berkata, Aaron terpaksa melalui rawatan kemoterapi selama empat hari berturut-turut ketika jadual SPM sedang berjalan.

Lebih mencabar, dia pernah dimasukkan ke hospital selama enam hari akibat jangkitan kuman dalam darah ketika peperiksaan kertas Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain mengalami jangkitan mata semasa menduduki kertas akhir Matematik Tambahan.


Pengsan, Pembedahan & Pengorbanan Besar

“Dia juga beberapa kali pengsan semasa ujian lisan di sekolah. Malah, sebaik sahaja tamat kertas terakhir, Aaron terus menjalani pembedahan besar memakan masa selama 12 hingga 13 jam.

“Jujurnya, saya tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi kerana hanya mahu dia sembuh. Namun melihat keputusan 8A dan 1B ini, saya rasa segala kesakitan dan keazamannya sangat berbaloi,” ujarnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. SUMBER: Kosmo!

Published by
Fath