Berita

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Timang Cucu Ketujuh, Puteri Kelima TMJ Selamat Dilahirkan

Share

Baru-baru ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dikurniakan cucunda ketujuh apabila YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selamat melahirkan seorang puteri pada Ahad, 5 April, semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, khabar gembira itu turut disertakan dengan pengumuman rasmi daripada Jumaah Majlis DiRaja Johor berhubung kelahiran berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, puteri yang dilahirkan itu merupakan anakanda kelima kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Kredit foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Pengumuman Diraja berkenaan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin.

Pada masa yang sama, keadaan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta bayi perempuan tersebut dilaporkan berada dalam keadaan sihat walafiat.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selamat menerima cucunda ketujuh,” tulis perkongsian di Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Di samping itu, Jumaah Majlis DiRaja Johor turut menzahirkan doa agar Allah SWT terus mengurniakan kesihatan, kesejahteraan serta keberkatan berpanjangan kepada seluruh Kerabat DiRaja Johor.

Untuk rekod, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor mendirikan rumah tangga bersama Tunku Mahkota Ismail pada 24 Oktober 2014 dan pasangan ini kini dikurniakan lima orang cahaya mata terdiri daripada dua putera dan tiga puteri.

Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE