Berita

“Kalau Kita Halang, Budak Sebesar Thalita Ini Akan Memberontak” -Watie Hanafiah

Share

Isteri kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib iaitu Watie Hanafiah akhirnya tampil membuka mulut susulan kritikan yang diterima anak tirinya, Thalita, berhubung pemilihan busana semasa majlis gender reveal yang berlangsung minggu lalu.

Menerusi satu klip siaran langsung di TikTok, Watie atau nama penuhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah menjelaskan bahawa Thalita sebenarnya pernah menyimpan hasrat untuk bertudung sebelum ini.

“Dulu Thalita pernah kata nak pakai tudung dan keinginan itu memang ada, tapi bila besar sikit minatnya berubah ikut persekitaran.

“Bila makin besar, dia ada keinginan lain pula, nak cuba baju-baju berbeza. Bila saya larang, daddy tegur sebab saya pun dulu ada pengalaman pakai baju seksi juga,” katanya.

Dalam pada itu, Watie turut mengakui wujud sedikit kesilapan dalam pemilihan busana yang ditempah khas untuk majlis berkenaan. Namun, kekangan masa menyebabkan rekaan asal tidak sempat diubah seperti yang dirancang.

Menurutnya lagi, Shuib sendiri menegur penampilan Thalita yang disifatkan agak mencolok mata untuk kanak-kanak seusianya.

“Kes haritu, baju itu tidaklah diminta seperti itu sebenarnya. Tapi baju itu terpotong ke bawah sedikit.

“Pada hari kejadian pun ramai saja yang tegur termasuk ahli keluarga. Daddy tegur, dia harap Thalita tak pakai baju sebegitu dah. Sebab baju-baju Thalita saya yang uruskan,” jelasnya lagi.

Selain itu, Watie menegaskan bahawa pengalaman tersebut dijadikan sebagai pengajaran buat Thalita agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan pemakaian pada masa hadapan.

“Saya izinkan dia pakai. Bila dah pakai, dia sendiri nampak apa yang orang kecam. Biarlah dia alami sendiri supaya selepas ini Thalita boleh fikir dan buat keputusan sendiri tentang pemakaian.

“Kalau kita halang, budak sebesar Thalita ini akan memberontak. Kalau kritikan itu membuat dia tak mahu pakai baju seksi lagi, kenapa tidak? Kalau itu boleh menjadikan kita lebih baik, salah ke?” tambahnya.

Sebelum ini, Thalita menerima kecaman daripada segelintir netizen selepas tampil mengenakan gaun labuh rona merah jambu dengan rekaan dedah bahu yang disifatkan kurang sesuai dengan usianya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: IGmakeupbyaqielahm

Published by
Fath