
Pelawak dan penyampai radio terkenal, Azad Jasmin atau lebih mesra disapa Pak Azad, mengambil tindakan tegas apabila mendedahkan wajah beberapa individu yang didakwa melakukan buli siber terhadap anak perempuannya, Amarra Sofea Rose.
Menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya, Pak Azad meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir netizen yang menurutnya seakan hilang batasan ketika meninggalkan komen di media sosial.
Menurut Pak Azad, komen yang dilemparkan terhadap anaknya bukanlah teguran atau nasihat seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya lebih kepada bentuk buli siber yang dilakukan secara terbuka.
“Saya dah pun memuat naik wajah pembuli-pembuli siber ini. Ada yang jenis berkeluarga, ada yang berkahwin dan ada juga yang dah berhijab.
“Maki hamun ini kononnya nasihat, tetapi tidak. Ia berbentuk buli kerana dilakukan secara terbuka. Jadi, mereka yang saya muat naik gambar itu adalah pembuli siber yang sangat aktif sekarang,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut mempersoalkan tindakan individu yang sanggup melontarkan kata-kata kesat tanpa memikirkan kesan emosi yang mungkin ditanggung oleh seorang kanak-kanak.
Menurutnya, dia masih boleh menerima sekiranya kecaman ditujukan kepada dirinya sebagai figura awam, namun sukar untuk berdiam diri apabila anak perempuannya yang baru berusia 13 tahun turut menjadi sasaran.
“Sebelum anda nak maki anak-anak orang, tengoklah sama ada anda ada anak sendiri atau tidak, ataupun anda pernah jadi anak orang atau tidak? Cuba tengok balik.
“Kalau nak maki-maki saya seorang pun okey juga, janganlah maki anak perempuan saya yang baru berusia 13 tahun.
“Jadi, saya akan memuat naik (wajah) sesiapa sahaja pembuli siber ini. Hangpa (kamu) nak popular sangat, saya bagi anda popular,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang pengguna Threads turut memuat naik tangkap layar mesej langsung (DM) yang diterimanya daripada Pak Azad selepas meninggalkan komen mengenai persembahan Amarra yang disifatkannya sebagai membosankan.
Perkongsian tersebut kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila mesej yang dihantar oleh pelawak itu dianggap kasar dan menggunakan bahasa yang kurang sesuai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.