“Ini Kali Pertama & Terakhir Ke Laut, Saya Hanya Terfikir Mati & Menangis Minta Tolong

1216

Mahu merasai pengalaman memancing ikan dan mencandat sotong memberikan satu pengalaman sukar dilupakan oleh seorang pembantu kedai, Muhammad Faris Ramli.

Berusia 22 tahun, dia antara yang terselamat dalam tragedi bot karam dipukul ribut di periran Bachok malam tadi. Saat berkongsi detik cemas itu, Muhammad Faris mengakui, dia sempat berpaut sejam pada bot, menangis dan meminta pertolongan sebelum diselamatkan bot nelayan.

Menceritakan kejadian itu, Muhammad Faris berkata, beliau bersama 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak baharu tiba di lokasi kejadian untuk melakukan aktiviti menyandat sotong dan memancing.

"Kami baharu sampai di tempat kejadian pada waktu Maghrib dan hanya sekejap mencandat sotong dan memancing sebelum ribut datang dengan tiba-tiba dan terbalikkan bot kami.

IKLAN

"Pada waktu itu tekong bot mengarahkan kami masuk ke bahagian dalam bot untuk menyelamatkan diri, dia (tekong) kata tali sauk bot putus, kejadian berlaku amat pantas sehingga saya tidak melihat apa-apa lagi," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Tok La di sini, hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan kejadian itu telah meragut empat nyawa, empat masih hilang dan 12 disahkan selamat.

Anak sulung daripada enam adik beradik itu berkata, beliau yang pertama kali memancing ke laut berjaya menyelamatkan diri apabila berpaut di pelampung pukat ikan.

"Saya tenggelam sebelum berjaya mencapai pelampung pukat ikan dan sempat menyelamatkan dua lagi rakan yang lain iaitu Harif Mat Yasin, 50, dan Ahmad Roslan Musa, 31, manakala rakan lain tidak kelihatan ketika itu.

"Saya mampu berdoa dan berfikir akan turut terkoban sekiranya tiada bot nelayan yang datang menyelamatkan kami," katanya.

Beliau, yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, selepas terselamat lebih mendebarkan hatinya apabila dia tercari-cari bapa saudaranya iaitu Hasan Daud, 60, yang tidak kelihatan dan antara yang dilaporkan masih hilang.

"Bernasib baik sepupu saya Amir Syazwan Adnan, 21, turut terselamat dan ini pertama kali dan terakhir saya ke laut, peristiwa ini akan menjadi pengalaman pahit yang akan dikenang sampai bila-bila," katanya.

— BERNAMA