
Pempengaruh dan penulis, Farah Lee tampil memberi pesanan bermakna kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar tidak terlalu terikat dengan keputusan peperiksaan semata-mata.
Menurutnya, keputusan yang diperoleh hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan hidup, malah masih banyak ruang dan peluang lain yang boleh diteroka selepas ini termasuk menyambung pelajaran dan membina potensi diri dalam pelbagai bidang.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Farah menegaskan bahawa SPM bukanlah penentu mutlak kejayaan seseorang. Sebaliknya, terdapat pelbagai faktor lain yang memainkan peranan dalam membentuk masa depan seseorang individu.
“SPM bukan penentu segalanya, there are a lot of other things that define success other than academics. Perjalanan masih jauh, masih banyak sisi dunia yang boleh diteroka,” tulisnya.
Pesanan Farah Lee ini jelas memberi perspektif bahawa kehidupan selepas peperiksaan jauh lebih luas dan tidak terhad kepada satu keputusan sahaja.
Dalam masa sama, Farah turut mengingatkan bahawa nilai diri tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan pencapaian akademik. Apa yang lebih penting adalah membina jati diri yang baik, beradab serta memberi manfaat kepada orang lain.
“Yang penting sentiasa menjadi manusia yang penuh adab, akhlak dan manfaat inshaAllah itu yang Allah lagi pandang,” katanya lagi.
Perkongsian itu turut diselitkan dengan nada santai apabila Farah berkongsi pengalaman peribadinya yang tidak memperoleh keputusan straight A dalam SPM, namun ia tidak menghalangnya untuk berjaya seperti hari ini.
“Anyway, tahniah semua adik-adik SPM 2025 🖤 — dari Auntie Farah yang tak dapat straight 12As sebab English dapat B+,” ujarnya berseloroh.
Hantaran tersebut kemudian mendapat perhatian ramai apabila netizen dilihat mengulang siar serta berkongsi semula kata-kata tersebut sebagai tanda sokongan dan persetujuan.
Rata-rata berpendapat mesej yang disampaikan Farah cukup relevan, khususnya buat pelajar yang mungkin berdepan tekanan selepas menerima keputusan SPM masing-masing.
Dalam era media sosial hari ini, mesej seperti ini cepat tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar dan ibu bapa.
Dalam suasana yang sering meletakkan keputusan peperiksaan sebagai kayu ukur utama, pandangan seperti ini dilihat mampu memberi perspektif lebih seimbang bahawa kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada gred, tetapi bagaimana seseorang itu membina diri dan mencorak perjalanan hidupnya selepas ini.
Pesanan ini juga menggalakkan lepasan sekolah untuk terus menyambung pelajaran, sama ada dalam bidang akademik atau kemahiran, serta berani mencuba peluang baharu.
Secara keseluruhannya, mesej ini memberi harapan bahawa setiap individu mempunyai jalan kejayaan tersendiri, dan SPM hanyalah salah satu langkah awal dalam perjalanan panjang tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.