
Bermula hari ini, ribuan peminat motosikal Yamaha RX-Z dijangka membanjiri Terengganu sempena penganjuran RXZ Members 8.0, antara himpunan motosikal terbesar yang sentiasa mendapat sambutan luar biasa setiap tahun.
Sempena acara tersebut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tampil menitipkan beberapa pesanan buat semua peserta agar sentiasa menjaga adab, keselamatan serta nama baik komuniti penunggang motosikal.
Menerusi satu hantaran di Threads, beliau mengingatkan bahawa jalan raya bukan sekadar laluan menuju destinasi, malah merupakan tempat seseorang boleh mengumpul pahala atau mengundang dosa.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW mengenai hak-hak di jalan raya, antaranya menahan diri daripada menyakiti orang lain, menjaga pandangan, menjawab salam serta menyeru kepada perkara yang baik.
Menurut Dr. Zulkifli, antara hak jalan yang paling besar ialah tidak menyusahkan atau menyakiti pengguna lain.
Beliau mengingatkan supaya peserta tidak menjadikan keseronokan menunggang sebagai punca gangguan kepada masyarakat, termasuk melalui bunyi ekzos yang terlalu bising.
“Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain. Janganlah bunyi motosikal kita menjadi sebab seorang bayi terjaga daripada tidur, seorang pesakit terganggu rehatnya, atau seorang warga emas terkejut kerana bunyi yang memekakkan telinga.”
Beliau menegaskan bahawa menjaga hak pengguna jalan raya merupakan sebahagian daripada akhlak seorang Muslim. Sikap bertimbang rasa bukan sahaja dapat mengelakkan konflik, malah mampu mewujudkan suasana perjalanan yang lebih harmoni sepanjang berlangsungnya RXZ Members 8.0.
Selain itu, beliau turut mengingatkan semua penunggang supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak berlumba, tidak memotong secara berbahaya serta mengelakkan aksi yang boleh mengundang kemalangan.
Menurutnya, walaupun seseorang yakin dengan kemahiran menunggang, tiada siapa mengetahui apa yang bakal berlaku di hadapan. Oleh itu, setiap peserta perlu mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain sepanjang perjalanan.
Beliau juga menggalakkan peserta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, memakai topi keledar yang memenuhi piawaian keselamatan serta menggunakan kelengkapan perlindungan yang bersesuaian.
Dalam masa sama, Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa beberapa masjid di sekitar Terengganu dan kawasan berhampiran tapak himpunan mengalu-alukan kehadiran para peserta.
Beliau berharap apabila azan berkumandang, para rider dapat berhenti seketika untuk menunaikan solat berjemaah.
“Biarlah tayar motosikal membawa kita ke rumah Allah sebelum membawa kita ke destinasi yang lain.”
Beliau turut menggalakkan peserta menyokong peniaga tempatan dengan membeli produk seperti keropok lekor, cenderamata dan barangan yang dijual di Pasar Payang serta gerai-gerai sekitar Terengganu agar kehadiran mereka turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat.
Usaha menyokong perniagaan tempatan bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi negeri, malah memberi impak positif kepada komuniti yang menjadi tuan rumah kepada penganjuran RXZ Members 8.0.
Dalam pesanan yang sama, Dr. Zulkifli turut mengingatkan peserta supaya menjaga pandangan serta mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau maksiat.
Beliau berharap setiap peserta pulang dengan selamat serta membawa pulang keberkatan sepanjang perjalanan.
“Semoga setiap kilometer yang dilalui berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Moga kembali bukan sekadar membawa kenangan, tetapi juga membawa keberkatan dan rahmat daripada-Nya.”
Penganjuran RXZ Members 8.0 dijangka sekali lagi menghimpunkan puluhan ribu peminat motosikal dari seluruh negara, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai tumpuan komuniti permotoran sepanjang hujung minggu ini.
Pesanan yang disampaikan oleh Dr. Zulkifli diharap menjadi panduan kepada semua peserta agar perhimpunan ini berlangsung dalam suasana yang harmoni, selamat dan penuh adab. Dengan mengutamakan keselamatan, memelihara akhlak, menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim serta menghormati masyarakat setempat, komuniti RX-Z dapat terus dikenali sebagai kelompok penunggang yang berdisiplin dan bertanggungjawab.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.