Berita

Dayang Areeda Tak Mahu Desak Hazeeq Dean Kahwin, Beri Ruang Kejar Impian

Share

Sudah setahun mengenali hati budi masing-masing, pelakon Dayang Areeda mengakui dirinya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya bersama kekasihnya, aktor dan bekas Hero Remaja, Hazeeq Dean.

Namun begitu, pelakon berusia 32 tahun itu tidak mahu meletakkan tekanan kepada Hazeeq, 29, untuk segera menamatkan zaman bujang kerana mahu memberi ruang kepada kekasihnya itu mengejar impian dalam kehidupan serta kerjaya.

Tak Mahu Paksa Kahwin

Menurut Dayang, soal perkahwinan sememangnya pernah dibincangkan bersama Hazeeq, namun mereka masih belum mempunyai sebarang perancangan lanjut untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Saya dah bersedia tetapi saya nak dia capai dulu apa saja yang dia nak dalam kehidupan. Saya tak nak paksa dia walaupun saya sudah lanjut usia, tapi tak apa. Saya nak tunggu dia.

“Kami ada berbincang tetapi masih belum ada perancangan lanjut,” katanya.

Bagi Dayang, usia bukan alasan untuk dirinya mendesak pasangan membuat keputusan terburu-buru, apatah lagi dia mahu melihat Hazeeq terlebih dahulu mencapai perkara yang diimpikan dalam bidang lakonan.

Beri Peluang Nikmati Zaman Bujang

Bukan sekadar memberi ruang untuk Hazeeq mengembangkan kerjaya, Dayang juga mahu kekasihnya menikmati kehidupan sebagai seorang lelaki bujang sebelum memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai suami.

“Saya nak dia betul-betul puas dengan kehidupan sebagai bujang, biar dia berkarya sepuasnya.

“Bila dia dah capai apa yang dia nak, barulah kita ke fasa seterusnya,” ujarnya.

Keluarga Faham Pendirian

Dalam pada itu, Dayang bersyukur apabila keluarganya turut memahami pendirian tersebut dan tidak memberikan tekanan kepadanya untuk segera mendirikan rumah tangga selepas mengetahui mengenai hubungannya bersama Hazeeq.

Malah, Dayang turut berkongsi bahawa Hazeeq merupakan individu pertama yang diperkenalkannya kepada umum sebagai teman lelaki.

“Sebelum ini saya tak pernah kongsi mengenai kehidupan peribadi dengan sesiapa. Hazeeq adalah orang pertama yang saya beritahu kepada umum bahawa saya ada seseorang.

“Bukan bermakna hubungan sebelum ini tidak serius, tetapi sekarang saya rasa lebih fokus dan serius,” jelasnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath