Berita

Dakwaan Penipuan RM1.3 juta, Pempengaruh Aisar Khaled Berdepan Laporan Polis Di Indonesia

Share

Pempengaruh media sosial terkenal, Aisar Khaled dilaporkan kepada pihak polis Indonesia susulan dakwaan penipuan membabitkan nilai sekitar 5.7 bilion rupiah atau kira-kira RM1.3 juta.

Menurut laporan Tribunnews.com, laporan berkenaan dibuat di Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin selepas Aisar didakwa tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang telah dihantar kepadanya.

Dibuat Berdasarkan Beberapa Peruntukan Undang-Undang

Peguam yang mewakili syarikat berkenaan, Machi Achmad berkata, laporan polis itu dibuat berdasarkan beberapa peruntukan di bawah Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).

“Kami hadir hari ini bagi mewakili pelanggan untuk membuat laporan terhadap seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya.

Menurut Machi, pihaknya sebelum ini telah mengambil langkah menghantar tiga notis tuntutan kepada Aisar.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada sebarang maklum balas diterima daripada pempengaruh tersebut, termasuk maklumat berkaitan keberadaannya.

Berpunca Daripada Perjanjian Pelaburan

Sementara itu, seorang lagi peguam yang terlibat, Michael Sugijanto menjelaskan bahawa pertikaian tersebut dikatakan berpunca daripada satu perjanjian pelaburan yang dimeterai antara Aisar dan syarikat terbabit.

Menurutnya, masih terdapat sejumlah kewajipan yang didakwa belum diselesaikan oleh Aisar dengan nilai keseluruhan sekitar 5.7 bilion rupiah.

“Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, baki yang masih belum dibayar adalah sekitar 5.7 bilion rupiah,” katanya.

Michael turut mendakwa bahawa perjanjian berkenaan bukan hanya melibatkan bayaran, malah Aisar mempunyai beberapa tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada persetujuan tersebut.

Antaranya termasuk menghadiri acara-acara tertentu secara bersemuka.

Usaha Selesaikan Secara Baik Didakwa Tidak Berhasil

Bagaimanapun, pihak syarikat mendakwa beberapa kewajipan yang telah dipersetujui itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Michael berkata, pihaknya juga sudah berusaha untuk menyelesaikan perkara berkenaan secara baik dengan menghubungi Aisar secara terus selain menghantar beberapa notis tuntutan.

Namun begitu, usaha tersebut didakwa tidak mendapat sebarang respons.

Susulan laporan polis yang dibuat, pihak berkuasa Indonesia dijangka menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam pertikaian berkenaan.

Setakat ini, Aisar masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dikemukakan terhadapnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath