Berita

Dah Pandai Rap Pada Usia Dua Tahun, MK K-Clique Tak Halang Aya Rayana Ceburi Dunia Seni

Share

Penyanyi rap, MK K-Clique terbuka sekiranya anak perempuannya, Aya Rayana, mempunyai minat untuk menceburi bidang seni apabila dewasa kelak.

Bagaimanapun, MK berkata dia tidak mahu memaksa puteri kesayangannya untuk terlalu awal terlibat dalam industri hiburan memandangkan usia Aya kini baru menginjak dua tahun.

“Tak ada tawaran apa-apa sebab anak saya pun masih kecil lagi. Jadi saya tak nak desak sangat kehidupan dia.

“Saya nak dia membesar secara normal seperti kanak-kanak biasa. Tapi sekiranya ada tawaran, saya akan tanya isteri.

“Kalau tawaran komersial kanak-kanak, InsyaAllah tak ada masalah. Tengok pada rezeki,” katanya kepada Remaja.

Aya Sudah Mula Hafal Lagu Ayah

Dalam pada itu, MK berkongsi perkembangan terbaru Aya yang kini semakin menunjukkan minat terhadap muzik.

Menurutnya, anak sulung hasil perkahwinannya bersama Hajar itu sudah mula menghafal beberapa lagu nyanyiannya, termasuk Pulang, Risiko dan Mimpi.

“Anak saya tu menyanyi lagu dan menari lagi. Sebelum ni memang dia selalu ikut saya ke show tapi hanya duduk dalam kereta, tengok dari tingkap je.

“Jadi dia tahu bapa dia pergi buat show, RAP. Tapi sekarang ni dia duduk tepi pentas dan tengok saya buat persembahan,” katanya.

Tak Halang Jika Aya Pilih Rap

Bercerita mengenai kemungkinan Aya meneruskan legasi bapanya dalam muzik rap, MK menegaskan dia tidak akan menghalang sekiranya perkara tersebut benar-benar menjadi pilihan dan minat anaknya.

Malah, penyanyi berkenaan bersedia memberikan sokongan serta membimbing Aya sekiranya dia memilih untuk mengikuti jejak langkahnya dalam dunia seni.

“Kalau anak saya berminat untuk jadi rapper, tak ada masalah dan terpulang pada dia. Saya terbuka dan mahu yang terbaik untuk dia.

“Saya tak ada halangan dan tak mahu menghadkan pergerakan dia tapi saya nak besarkan dia dalam ajaran agama yang cukup dan berguna untuk masyarakat.

“Saya tak tahu ke depan tu macam mana, saya ada untuk bimbing dia. Yang penting dia tahu apa yang patut dan tak patut buat, tahu baik dan tak baik serta halal dan haram,” ujarnya lagi.

Utamakan Fasa Membesar

Sementara itu, MK memberitahu dia dan isterinya juga belum pernah mengadakan perbincangan khusus mengenai kemungkinan Aya terlibat dalam industri hiburan.

Buat masa ini, pasangan tersebut memilih untuk menikmati setiap fasa tumbesaran anak mereka tanpa terlalu memikirkan soal kerjaya Aya pada masa akan datang.

“Sejujurnya saya dan isteri tak pernah berbincang tentang hal ini (penglibatan anak dalam industri) sebab kami sibuk tengok progress dia membesar.

“Saya nak anak saya enjoy dengan kehidupan kanak-kanak dia dan saya enjoy sebagai seorang bapa,” tambahnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath