
Pagi yang sepatutnya tenang bertukar kelam di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai apabila kejadian menyayat hati mengejutkan seluruh komuniti. Seorang guru wanita berusia 51 tahun dan anak lelakinya berumur 21 tahun ditemui tidak bernyawa di ruang tamu rumah mereka dalam suasana yang memilukan.
Lebih menyedihkan, seorang lagi anak lelaki berusia 13 tahun pula ditemui terbaring lemah di bahagian garaj rumah. Keadaan adik bongsu ini menggambarkan betapa detik-detik akhir keluarga tersebut dipenuhi kesakitan dan trauma yang tak terbayang dek akal.
Menurut laporan terkini oleh Malaysia Gazette, kejadian mengejutkan ini dipercayai dilakukan oleh anak kedua kepada wanita berkenaan, yang kini menjadi suspek utama.
Remaja lelaki berumur 17 tahun itu yang merupakan calon SPM tahun ini, didakwa bertindak sedemikian kerana mengalami tekanan emosi akibat kerap didesak oleh ibunya dan abang untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Disebabkan tekanan yang telah lama dipendam, remaja terbabit dipercayai telah merancang tindakannya terlebih dahulu sebelum bertindak sekitar jam 5 pagi. Serangan pertama dilancarkan terhadap ibunya, dan ketika abang cuba meleraikan pergelutan tersebut, dia turut menjadi mangsa serangan yang sama oleh suspek yang sedang hilang kawalan.
Adik bongsu yang turut mengalami kecederaan dikatakan cuba membantu ibu dan abangnya, namun tidak berjaya menyelamatkan mereka.
Kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam keseluruhan insiden, termasuk cubaan suspek melupuskan bahan bukti. Ketika ditahan pihak berkuasa, remaja berkenaan didapati berada dalam keadaan termenung. Hasil ujian air kencing mendapati tiada kesan pengambilan bahan terlarang dikesan.
*Remaja mengucapkan takziah buat keluarga mangsa. Dalam dunia yang serba pantas ini, tragedi seperti ini mengingatkan kita betapa pentingnya peka dengan kesihatan mental dan sokongan emosi antara ahli keluarga dan komuniti.
BACA LAGI : “Bos Dari Syurga!” Christy Ng Belanja RM40,000 Restock Pantri, Siap Ada Produk Penjagaan Diri Untuk Pekerja!
Sumber: Malaysian Gazette
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.