Kerohanian

Apa Hukum Cipta Imej Realistik Patung Maya? Ini Penjelasan UAI

Share

Sejak munculnya media sosial, pelbagai trend kreatif mula menjadi ikutan anak muda. Ada yang bermanfaat, memberi inspirasi, namun tidak kurang juga yang menimbulkan persoalan tentang batas syariah. Terbaharu, trend mencipta imej realistik gaya figura diri sendiri menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Google Gemini Nano Banana mula menjadi perhatian.

Nampak macam sekadar suka-suka dan hiburan semata-mata, tetapi ramai yang mula tertanya-tanya: apa hukum dalam Islam mencipta imej realistik patung maya ini?

Dua Hukum Bergantung Kepada Tujuan

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa hukum membuat patung atau imej realistik bergantung kepada tujuan dan bentuk yang dicipta.

Menurut beliau, jika patung atau imej itu menjelma di alam nyata, boleh disentuh dan ada bayang, maka perlu diteliti niat dan tujuan ia dibuat. Dalam hal ini, hukum membuat patung terbahagi kepada dua:

  • Harus – apabila dibuat untuk tujuan pembelajaran atau manfaat tertentu. Contohnya, patung anatomi di universiti untuk pelajar perubatan, atau patung keselamatan di jalan raya.

  • Haram – jika patung itu dimuliakan, diagungkan atau digunakan untuk tujuan yang melalaikan. Hukumnya haram dengan ijmak ulama.

Bagaimana Jika Hanya di Alam Maya?

UAI turut menegaskan bahawa jika imej realistik itu tidak menjelma di alam nyata – sekadar duduk di alam maya, contohnya imej disimpan dalam album digital atau sekadar hobi melukis menggunakan AI – maka ia tidak jatuh haram.

Namun, beliau mengingatkan bahawa jika imej tersebut digunakan untuk aib, fitnah atau perkara tidak sopan, hukumnya tetap berdosa. Ini kerana Islam menekankan adab dalam setiap ciptaan, sama ada nyata atau maya.

Pesanan UAI Tentang AI dan Trend Digital

Dalam salah satu video kuliahnya di YouTube, UAI turut menyentuh tentang penggunaan teknologi moden seperti AI untuk melukis dan menyunting gambar. Katanya, anak muda perlu bijak menapis trend supaya tidak tersasar daripada landasan agama.

Teknologi memang bermanfaat, tetapi jangan sampai kita terjebak dengan perkara yang boleh melalaikan atau menjejaskan iman.

Kesimpulannya, hukum cipta imej realistik patung maya terbahagi kepada dua: harus jika untuk tujuan pendidikan atau manfaat, tetapi haram jika diagungkan atau disalah guna. Jika hanya sekadar di alam maya, hukumnya tidak jatuh haram selagi tidak melibatkan aib atau perkara mungkar.

👉 Jadi, sebagai remaja Muslim bijak, gunakan teknologi dengan bijak dan ikut batas syarak supaya setiap trend yang kita ikuti memberi manfaat, bukan mudarat.

BACA LAGI : RM2.28 Juta Pampasan! Remaja Alami Kerosakan Otak Kekal Akibat Kecuaian Doktor Semasa Dilahirkan

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana