
Isu buli dalam kalangan pelajar kembali menjadi perhatian apabila anak kepada pelakon terkenal, Ako Mustapha, didakwa menjadi mangsa dalam satu kejadian di sebuah sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes tersebut, namun siasatan lanjut masih belum dimulakan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya sedang meneliti kes berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Kita ada terima laporan. (Bagaimanapun) setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anaknya, Mika, menjadi mangsa buli dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Selasa.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform media sosial, Threads, Ako memaklumkan insiden itu dipercayai membabitkan lima murid, terdiri daripada dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas anaknya.
Menurut Ako, kejadian tersebut hanya disedari selepas anaknya yang berusia 10 tahun itu pulang dari sekolah.
Lebih membimbangkan, kesan kecederaan hanya kelihatan selepas kanak-kanak itu selesai mandi sebelum menunjukkan lebam pada tubuhnya.
Anaknya turut mendakwa dipukul sehingga mengalami kecederaan, termasuk kesan tapak kasut dan tumbukan pada beberapa bahagian badan.
Ako berkata, semua gambar dan video kecederaan telah dihantar kepada guru kelas sebagai bukti kejadian.
Malah, anaknya juga telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan awal di sebuah klinik kerajaan.
Kes ini kini masih dalam perhatian pihak polis dan perkembangan lanjut dijangka menyusul.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.