
Penyanyi terkenal, Bella Astillah berkongsi momen manis bersama anak lelakinya, Ayden Adrean selepas dia mengikat tali pertunangan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 28 Mac lalu.
Menurut Bella, Ayden ternyata antara individu paling gembira dengan berita pertunangannya itu. Malah, keterujaan si kecil itu cukup jelas apabila dia sudah tidak sabar menantikan sambutan Hari Bapa yang bakal tiba pada Jun depan.
Kata Bella, kebahagiaan anak-anak sentiasa menjadi keutamaannya dalam apa jua keadaan.
“Bila lepas bertunang tu dia (Ayden) dia cakap gembira sangat. Bagi Bella kebahagiaan anak-anak nombor satu. Apabila mereka gembira saya pun senang.
“Akhirnya insya-Allah tahun ini kalau kena buat aktiviti deko di sekolah, Ayden boleh buat sesuatu untuk bagi kad hari bapa.
“Ayden kata bila buat dengan cikgu semua orang teruja dan tak sabar nak balik beri pada ayah, tapi untuk dia tak tahu nak beri pada siapa,” katanya.
Dalam pada itu, Bella turut berkongsi pengalaman menyentuh hati yang pernah dilalui Ayden sebelum ini, khususnya ketika sambutan Hari Bapa tahun lalu.
Jelasnya, situasi tersebut memberi kesan mendalam kepada anak sulungnya itu sehingga pernah menangis kerana tidak tahu kepada siapa kad ucapan harus diberikan.
“Dia cakap akhirnya tahun ini dapat beri kad Hari Bapa. Maksudnya dia ingat sebab tahun lepas perkara ini berlaku dia menangis sebab tak tahu nak bagi dekat siapa.
“Jadi lepas tunang baru-baru ini dia sebut semula cakap teruja nak tunggu sambutan Hari Bapa,” ujarnya.
Kini, selepas berita pertunangan tersebut, Ayden dilihat kembali ceria dan penuh harapan untuk menyambut Hari Bapa seperti kanak-kanak lain.
Perubahan itu secara tidak langsung memberikan kebahagiaan besar buat Bella sebagai seorang ibu.
Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Aliff Aziz pada September 2016, namun pasangan itu bercerai pada Mac 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean dan seorang anak perempuan, Ara Adreanna yang kini berusia enam tahun.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.