Yakin Sangat Ke Produk Besarkan Payudara Tu Benar-Benar Berkesan? Nah, Baca Penjelasan Ini

1173

Kadang, tertanya-tanya juga produk besarkan payudara dan pinggul tu benar-benar efektif atau hanya membongak saja. Iye la, dalam beberapa sapuan je dah boleh nampak kesannya. Biar betul?

Untuk menjawab persoalan yang dah lama bersarang dalam kepala tu, Remaja nak mengupas isu ini dengan lebih lanjut bersama pandangan yang telah dikongsi oleh laman Root of Science.

Untuk membuktikan kenapa produk-produk besarkan payudara itu mengarut dan merbahaya, kita perlu memahami proses fisiologi (fungsi normal) sesuatu itu terlebih dahulu. Selepas itu, barulah boleh nampak dengan jelas macam mana produk-produk tersebut memanipulasi proses yang normal untuk jadi tidak normal dan membawa kesan-kesan yang kononnya ‘menakjubkan’.

Perubahan saiz secara semula jadi

Mungkin ada di antara kita sudah peka tentang perubahan bentuk badan yang bakal berubah khususnya semasa mengandung. Punggung akan menjadi sedikit besar kerana paras hormon estrogen meningkat dan memberi kesan kepada bahagian-bahagian tubuh badan untuk persediaan proses kelahiran nanti.

Faktor yang mempengaruhi saiz bentuk badan anda juga berkait rapat dengan genetik keluarga. Peratusan lemak dalam badan dan paras hormon seperti estrogen turut memainkan peranan. Pendek kata, kalau dah memang keturunan Melayu tu, tak perlulah nak bandingkan diri dengan bentuk badan selebriti Hollywood.

Hormon estrogen

Hormon ini mempunyai pelbagai fungsi dan kesan tak kira bagi kaum laki-laki atau pun perempuan. Tapi bagi perempuan pula, parasnya relatif kepada hormon lain selepas menopaus jauh beza dengan paras sebelumnya. Ini juga menjadi sebab kenapa organ-organ tersebut juga turut kendur dan mengecil.

Untuk mereka yang sudah menopaus, terdapat rawatan HRT (hormone replacement therapy) yang boleh digunakan untuk mengawal kesan dan simptom yang dialami akibat paras estrogen yang rendah. Ada beberapa jenis dan kombinasi dan salah satu kesan yang akan dialami secara tak sengaja adalah payudara semakin membesar.

Jadi, kesan inilah yang digunakan oleh pelbagai produk tidak kira daripada jenis krim, serum atau bancuh sebagai minuman.

Beri kesan buruk

Penggunaan hormon tanpa kawalan boleh memberikan kesan buruk yang kekal dan berpanjangan serta boleh membawa kesan pada waktu tua nanti. Bila dah berumur, mulalah tulang mudah rapuh dan berisiko untuk menghidap kanser payudara.

Penggunaan tanpa pemantauan boleh menyebabkan risiko kanser payudara meningkat (jenis ER+) kerana jenis estrogen dan kuantiti yang digunakan adalah tidak diketahui.

Ia juga membawa kepada kesan strok, senang ada ketulan darah (darah beku dalam badan), darah menjadi lebih pekat dan masalah jantung.

Lebih ngeri lagi, penjual produk tu sendiri pun tak tahu barangan mereka boleh mengakibatkan kesan-kesan buruk seperti itu.

Majoriti produk membesarkan payudara wanita kebanyakannya tidak berdaftar. Kalau nak uji kandungannya senang saja sebab lelaki yang pakai pun boleh membuatkan payudara mereka besar.

Dengan pencerahan yang telah dibuat ini kami harap sedikit sebanyak ia dapat membuka minda pengguna di luar sana. Jadilah pengguna yang bijak.

 

CER KOMEN SIKIT