Tak Perlu Risau Beg Sekolah Berat, Buku Teks Kini Dikeluarkan Dalam Versi Digital

209
Foto: kitaboo.com

Teringat kembali sewaktu zaman persekolahan dahulu, setiap malam akan kemas buku yang perlu dibawa ke sekolah mengikut jadual yang telah diberikan oleh guru. Buku teks antara yang paling tebal dan jika sehari ada 5 subjek yang dipelajari, maka pelajar perlulah membawa lima buah buku teks, itu belum termasuk lagi buku latihan yang lain.

Bayangkan, bagi pelajar yang berbadan kecil, korang sendiri tahu bagaimana rupa bila beg sekolah lagi besar daripada tuan badan. Hiks!

Nah, kini Agensi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Kota Buku (PKB) telah membangunkan aplikasi “KPM eTextbook Reader” bagi memudahkan murid untuk mendapatkan buku teks sekolah secara digital.

IKLAN

Aplikasi tersebut sekali gus memberi akses buku teks sekolah secara digital kepada pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan ketika PKP sehingga 26 Januari nanti.
KPM eTextbook Reader membantu pelajar memuat turun buku teks digital melalui penyediaan piawaian fail EPUB iaitu format fail standard terbuka untuk buku digital yang lebih ringan dan serasi dengan peranti mudah alih.

Aplikasi ini boleh didapati secara percuma melalui laman web www.textbook.moe.gov.my atau boleh terus dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store dengan carian KPM eTextbook Reader.

Usaha ini membolehkan pelajar mengakses buku teks digital menggunakan telefon pintar atau tablet pada bila-bila masa di luar sekolah dan kediaman untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Capaian internet sudah tidak diperlukan lagi jika aplikasi itu dimuat turun dan ia juga boleh menyelesaikan masalah beg sekolah berat dan mengurangkan kos mencetak buku teks.

Wah, makin canggihlah adik-adik di sekolah nanti. Semoga dengan adanya usaha ini dapat memudahkan lagi sesi pembelajaran dan setidaknya mampu mengurangkan kos pembelian buku teks.

Sumber: Astro Awani