Ramai yang tahu kebaikan bersedekah.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 261 membawa maksud, “perumpamaan orang-orang yang mendermakan (sedekah) harta bendanya di jalan Allah, seperti (orang yang menanam) sebutir biji yang menumbuhkan tujuh untai dan tiap-tiap untai terdapat seratus biji dan Allah melipat gandakan (balasan) kepada orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas (anugerahNya) lagi Maha Mengetahui.”

Tidak hairanlah, ramai berkongsi sidikit wang dan harta benda yang ada untuk diberikan kepada orang lain dengan harapan dan doa, agar sedekah itu membantu kita di akhirat nanti.

Masa yang sama, ramai terbelenggu dengan hutang. Meminjam dari kawan, membuat pinjaman bank untuk membeli rumah, kereta, kad kredit dan banyak lagi. Hinggakan apabila dapat gaji selepas di tolak hutang piutang yang ada, hanya tinggal suku saja dan nyawa-nyawa ikan untuk sampai ke gaji semula.

Hal ini membuatkan kita “tersepit” antara mahu bersedekah sedikit atau menyimpannya untuk sisa-sisa menunggu gaji baru.

Jadi dalam hal ini, mana patut kita utamakan dahulu? Memberi sedekah yang sedikit atau mendahulukan hutang yang kita ada terutama meminjam dari kawan-kawan, saudara mara dan sebagainya.

Apa yang perlu korang faham ialah, dahulukanlah HUTANG korang tu berbanding bersedekah kerana ibadah sedekah itu sunat sahaja. Dalam erti kata lain, buat dapat pahala, tak buat tak mengapa.

REMAJA kongsikan video Tik Tok dari Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam hal ini.

IKLAN

Kenapa perlu utamakan hutang dahulu?

Dari Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya, “Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?” Mereka menjawab, “Ya.”

Lalu baginda bersabda: “Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” (Riwayat at-Tabarani)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (HR Muslim).

Begitu juga hadis lain menyebut, “Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan.” (HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi)

IKLAN

Doa tolak hutang

Tidak dinafikan, ada kala kita terbelenggu dengan hutang dan buntu bagaimana nak atasinya. Janganlah rasa gusar kerana selagi kita tekad membayarnya, Allah lebih mengetahui niat kita. Jangan pula buat tak reti hal berhutang kerana roh orang yang berhutang tergantung di akhirat kelak.

Masa yang sama, bacalah ayat jauhi hutang ini agar kita bebas dari belenggu hutang.

Doa itu dianjurkan Nabi Muhammad SAW kepada Mu’az bin Jabal:

‘Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan wa’a’uzubuki minal ajzi walkasal, wa’a’uzubika minal jubni wal buhl, wa’a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijal’

IKLAN

(Ya ALLAH Ya Tuhan, aku berlindung kepada kamu daripada sifat dukacita dan sedih, daripada lemah dan malas, daripada takut dan bakhil, dan daripada berhutang dan tekanan manusia).

Sedekah bukan sekadar duit tapi pengertian sedekah itu luas

Ramai berfikir, ada duit baru boleh sedekah. Untuk pengetahuan korang, sedekah itu luas pengertiannya, bukan pada duit saja. Sesuai dengan satu hadis ini.

Abu Hurairah r.a berkata bahwa Rasulullah Saw bersabda, “Setiap ruas tulang manusia harus disedekahi setiap hari di saat terbitnya matahari: berbuat adil terhadap dua orang (mendamaikan) adalah sedekah; menumpangkan seseorang naik kenderaan, membimbingnya dan mengangkat barang bawaannya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah; Berkata yang baik juga termasuk sedekah. Begitu pula setiap langkah berjalan untuk menunaikan soolat adalah sedekah. Serta menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sedekah.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Dalam hal sedekah ini dalam surah Ali Imran ayat 92 menyebut, “kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan (sebagian harta) yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Semoga Allah mengampuni dosa kita dan memberikan rahmat buat kita di dunia mahu pun akhirat.