Keterlanjuran pasangan kekasih melakukan hubungan seks hingga gadis mengandung bukanlah berita luar biasa. Ada bayi dipam ke lubang tandas, ada dibuang ke tong sampah, ada dicampak dari tingkat empat dan lain-lain lagi.

Walau ramai sudah menerima hukuman atas perbuatan jenayah ini tapi nampaknya masih ada yang tidak serik dan masih selamba buang bayi merata-rata dan seolah hilang sifat perikemanusiaan.

REMAJA pernah siarkan satu artikel berjudul TAK PERLU TAKUT! INI 12 PUSAT BABY HATCH DI MALAYSIA KALAU TERMENGANDUNG TANPA NIKAH. Kalau pun sudah mengandung, jangan sesekali buang merata kerana kerajaan menyediakan tempat meletakkan bayi yang lebih selamat, bukan mencampakkannya ke tempat pembuangan sampah. Tapi nampaknya masih ada yang ragu-ragu dan berasa takut untuk meletakkan bayi comel begini ke hatch baby sedangkan korang langsung tidak akan didakwa atau ditangkap kalau letak di situ ya.

Laporan Harian Metro, hari ini satu lagi bayi baru dilahirkan dibuang ke tempat pembuangan sampah dan sudah tidak bernyawa kerana ditinggalkan sebelum dijumpai oleh orang awam pada jam 12.30 tengahmalam.








"Saya ingatkan patung, rupanya bayi," kata Hassanudin Sabang, 28, yang menemui mayat bayi lelaki berkenaan di tempat pembuangan sampah di Taipan, Inanam, tengah malam tadi.

IKLAN

Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Hassanudin yang juga peniaga bakso berkata, ketika membuang sampah, dia terpandang satu bungkusan plastik berisi seperti anak patung.

"Saya cuba memeriksa dan melihat ada tompokan darah pada bungkusan plastik itu. Saya kemudian mengangkat dan tiba-tiba terkeluar tubuh bayi yang masih bertali pusat.

"Saya terus meminta bantuan beberapa individu berhampiran lokasi berkenaan untuk segera menghubungi polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

IKLAN

Menurutnya, dia terkejut dan amat sedih kerana melihat kejadian seperti ini.

"Saya sedih melihat keadaan bayi diperlakukan sedemikian, kerana saya juga mempunyai seorang anak berusia sebulan," katanya.


IKLAN

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi itu adalah lelaki yang masih bertali pusat, cukup sifat dengan berat kira-kira empat kilogram.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian turut dilakukan sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

"Mayat bayi berkenaan di bawa ke HQE untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan," katanya.
Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.Sumber : Harian Metro