Hasil Kajian Industri Vape Ke Atas Remaja, 40.7% Enggan Sambung Sekolah

144

Rata-rata perokok yang beralih ke rokok elektronik vape mungkin tidak bersetuju dengan fakta di bawah. Tapi bagi golongan dewasa mungkin tidak sama pemikiran dengan remaja yang pastinya amat naif.

Namun kajian dijalankan oleh Fakulti Sains Kesihatan UKM berkaitan rokok dan vape di kalangan remaja tidak boleh dipandang remeh. Jelas kajian yang dijalankan di kalangan remaja ini amat menakutkan dan jika tidak dibendung boleh membawa kepada gejala yang lebih teruk.

Baca perkongsian yang ditulis oleh Dr Amirul Amzar di fb miliknya.

HASIL INDUSTRI VAPE KEPADA GOLONGAN REMAJA

Ini adalah penemuan dari kajian yang dijalankan oleh Fakulti Sains Kesihatan, UKM berkaitan rokok dan vape dalam kalangan remaja.

  1. Bila ditanya, 40.7% dari pelajar ini tidak berhasrat untuk meneruskan pelajaran lebih dari peringkat sekolah menengah.
  2. Peratusan menggunakan vape adalah LEBIH TINGGI dari yang merokok. (42.2% vs 27.0%). Selebihnya menggunakan kedua-duanya.
  3. 44.5% daripada mereka merasakan tabiat menghisap vape adalah menyeronokkan dan memberi kesan nikmat.
  4. 59.0% mereka ini mendapatkan vape dengan cara MEMINJAM dari rakan mereka.
  5. Daripada 422 orang pelajar yang menghisap rokok/vape, 40 orang adalah PEREMPUAN.
  6. 86.6% pelajar ini datang dari keluarga berpendapatan bawah RM4000 sebulan. Mereka adalah dari keluarga B40.

Kesemua statistik ini adalah bukti bahaya vape kepada perkembangan sosial remaja di Malaysia.

 

Pelajar menghabiskan banyak masa seharian di sekolah. Mereka bergaul dengan rakan-rakan di situ. Dan majoriti tabiat menghisap vape datang dari pergaulan dengan rakan-rakan.

Mereka ini kebanyakannya datang dari keluarga B40. Natijahnya, mereka ini tidak berkeinginan untuk keluar dari kepompong mereka dan tidak berhasrat untuk mendapatkan pengajian yang lebih tinggi.

Jika kita percaya dengan hujah industri vape mampu membela golongan B40, kita akan lihat lebih ramai pelajar menggunakan vape, lebih ramai remaja perempuan mengasapkan mulut mereka, dan lebih ramai pelajar berkongsi vape di sekolah.

Tabiat vape di kalangan kanak-kanak dan remaja amat membimbangkan
Pada usia sekecil ini kanak-kanak sudah menghisap vape kerana kononnya tidak berbahaya seperti rokok

Malah, kita akan lihat golongan B40 akan meningkat, akibat remaja-remaja ini akan terus terperosok dalam kancah masalah sosial dan tidak berkembang untuk memapankan hidup masing-masing.

Adakah hanya kerana nilai industri vape, kita pejam mata untuk masa depan sosial remaja dan anak-anak kita?

Adakah kita mahu meninggalkan legasi bermata duitan akibat perhitungan kita yang lebih mengutamakan duit dan keuntungan?

Dr Amirul Amzar

Sumber: Tabiat Penggunaan Rokok
Elektronik dalam Kalangan Peserta
Program Remaja Cergas dan Cerdas
(PRCC) di WPKL, Prof Madya Dr Wee Lei Hum, FSK UKM.

 

CER KOMEN SIKIT