Gaji Tak Usik Sesen Pun, Baca Perkongsian Bagaimana Remaja Ini Lakukan?

456

Viral baru-baru ini di media sosial  keadaan sebuah kapal Work Barge (offshore) yang dipukul ombak kuat hingga naik ke dek. Klip video itu memaparkan beberapa anak kapal cuba bergayut di tiang untuk menyelamatkan diri saat laut bergelora.

Menonton video ini membuatkan kita berasa risau dan terus mendoakan agar kesemuanya selamat. Tapi bagi  yang rezekinya ada di tengah lautan, pukulan ombak ganas hal yang sangat biasa.

 

Baca perkongsian  Asyrul Amirul Asyraf bin Mohd Amran, anak muda berusia 21 tahun yang memviralkan video tersebut hingga mendapat  ribuan perkongsian dari facebook miliknya. Katanya gambar itu ditangkap oleh kawan,  seorang kelasi kapal sepertinya dan kejadian itu berlaku di perairan sekitar Bintulu, Sabah.

Inilah Asyraf, kelasi laut yang memang meminati dunia pelayaran

Katanya ketika kejadian ribut melanda dan ombak mulai ganas dan itulah kali pertama dia melaluinya sejak mula bekerja di atas kapal luar pesisir yang membawa kargo.

Tapi kejadian dipukul ombak ganas bukan kali pertama sebaliknya di awal pekerjaannya ferinya hampir karam di perairan Terengganu.

“Nyawa hak milik Allah. Minat bekerja dan mahu mengelilingi dunia membuatkan saya sentiasa seronok dengan apa saya lakukan,” katanya memaklumkan dia bekerja sebagai Able Bodied Seaman ketika dihubungi REMAJA

Apa lagi yang bestnya jadi kelasi kapal selain mampu mengelilingi dunia secara percuma?

Kalau korang nak tahu, Asyraf tak pernah pun usik duit gajinya.  Sesen pun tak digunakan. Kalau dia di lautan enam bulan, enam bulanlah dia tak sentuh langsung duit gajinya. Makan minumnya sudah disediakan pihak majikan. Untungkan!

Tiap-tiap bulan gaji masuk begitu saja  ke akauannya. Lebih best lagi, kad banknya pun diserah kepada emaknya. Pesannya pada mak, kalau nak beli apa-apa untuk kegunaan keluarga, gunakanlah dari duit gajinya. Baikkan hati anak muda ini!.

Pix Giphy

Selepas enam bulan belayar, Asyraf akan mendapat cuti sebulan di darat. Masa inilah dia nak beli apa disukainya. Biar tak kerja sebulan, gajinya tetap dapat penuh. Habis cuti, dia akan belayar semula untuk tempoh enam bulan lagi. Jadi pada mana-mana gadis yang memilih kelasi sebagai cinta hati mereka, belajar bersabarlah ya menghadapi dugaan hidup berjauhan, hiks!

Sebenarnya banyak pengajaran  baik yang boleh diinspirasikan dari kisah pemuda berasal dari Kodiang, Kedah ini. Baca kisahnya elok-elok.

Di atas tadi ada dinyatakan tugasnya sebagainya Able Bodied Seaman? Apa maknanya itu.

“Sama macam yang nampak dalam video tu, itulah tugas kami.  Ombak ganas biasa bagi pelaut seperti kami. Selain itu tugas saya ialah mencuci mana-mana bahagian karat yang ada di badan kapal. Kemudian kami akan menampal semula karat tersebut sebelum mengecatnya.

Ombak ganas biasa bagi kelasi – pix Giphy

“Tugas kami yang lain ialah membuang air laut yang masuk ke badan kapal dengan cara menyedutnya  keluar. Kalau ada kapal tangki lain ingin membeli minyak di tengah lautan, kami akan pergi ke kapalnya, pasangkan host dan salurkan melalui bankernya. Tugas ini sangat mencabar namun menyeronokkan. Kalau kerja banyak, baju memang jadi hitam legamlah,”’ kata anak kedua dari lima beradik ini.

Apa lagi yang menarik ya?

Disebabkan impiannya mahu mengelilingi dunia melalui dunia pelayaran, kata Asyraf dia sedang menantikan detik itu. Mungkin untuk setahun dua akan datang kerana buat masa ini dia sudah pun menghantar Resume & CV ke sebuah syarikat perkapalan yang lebih besar yang membuat pelayaran terus ke Amerika Syarikat (US). Tolong doakan kejayaannya.

Impiannya mahu kelilingi dunia dengan dunia pelayaran- pix giphy

Sementara itu, buat masa ini, dia bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Johor Bharu sejak enam lalu.

Jujurnya, masanya memang banyak dihabiskan di lautan berbanding daratan. Dapat dia meneroka alam keindahan Allah yang tiada tolok bandingnya. Bestkan dapat kerja  sepertinya.

Tapi bukan semua yang indah-indah dalam hidup. Asyraf ada berkongsi bagaimana dia perlu bekerja keras sebelum memperoleh gaji yang banyak seperti hari ini.

Comotkan bajunya. Inilah hari paling teruk kerja atas kapal, kata Asyraf

Cuma ada PMR sahaja

Pekerjaan diperolehnya sekarang hanya berbekalkan sijil PMR sahaja. Tak ada SPM, Diploma atau Ijazah pun.

Kata orang Utara, ngaji pun tak habis. Hidup di kampung memang susah dan dia pernah jadi budak nakal suatu ketika dahulu. Katanya ketika itu, dia umpama budak-budak  yang  baru nak belajar erti kehidupan.

“Ayah bekerja  di kedai santan. Gaji tak banyak, lepas makan minum kami adik beradik. Mak bekerja sebagai pembantu di Tadika Kemas sebagai tukang masak. Kehidupan serba-serbi susah.

“Masa budak-budak, semua kita mahu dengan cepat dan mudah. Bila kita berhajat tapi tak mudah dapat, kita mencuri. Sampaikan mak ayah sedih bila orang kampung tuduh macam-macam. Kata mereka saya budak tak ada masa depan. Budak yang tak akan jadi apa-apa pun sebab ngaji tak habis,” kongsi Asyraf yang berharap kisahnya dapat dijadikan pedoman  buat remaja sepertinya.

Tak mahu mengalah pada takdir. Nekad mahu mengubah kehidupannya sendiri, Asyraf bawa diri keluar dari kampung. Tak kenal siapa-siapa pun. Dari Kedah, dia memilih Terengganu sebagai haluan pertamanya.

Dengan sijil PMR itu dia pergi ke Terengganu, bekerja sebagai krew feri. Gaji diperoleh ketika itu RM750. Alhamdulillah. Tapi dia tak terus berpuas hati dengan nilai gaji diperolehnya dan nekad untuk berubah ke arah lebih baik.

“Saya sambung belajar. Sebab minat dengan laut, saya minta masuk ke Akademi Laut Malaysia untuk short course. Tiga bulan saja ngaji sebab saya nakkan sijilnya. Kos agak mahal dalam belas ribu tapi saya simpan duit sebab nak buktikan diri boleh buat.

“Bila ada sijil, saya minta kerja di Feri Langkawi. Gaji time tu RM900. Dalam dua tahun juga saya kerja. Masa yang sama, saya sambung belajar lagi, ambil sijil sebagai pelaut (seaman). Bila dah ada sijil lagi mudah sebab banyak syarikat perkapalan mahukan seseorang yang ada pengalaman dan sijil.

“Bila dapat kerja seperti sekarang saya lega kerana ia memang minat,” katanya mengakui buat masa ini dia belum lagi belajar mengelilingi dunia, cuma di sekitar AsiaTenggara sahaja.

Hidup kena ada matlamat, baru kita akan berjaya

Apa inspirasi dari remaja ini?

Percaya tak, manusia sering memandang kepada kebendaan. Satu yang Asyraf ingin kongsikan, bila dia sudah agak berjaya, orang-orang kampung yang memang tak tahu dia kerja sebagai pelaut sudah mula buka mata.

 

Ramai tak percaya dia boleh berjaya biar hanya ada PMR sahaja. Ya la, confirmlah orang kampung buka mata, sebab gajinya pun dah lebat sangat. Sekali turun ke darat ada puluh-puluh ribu dalam akaun sebab tak digunakan langsung.

 

Kata Asyraf, jangan jadikan cemuhan orang sebagai satu kelemahan kehidupan. Hidup ini boleh berubah dan diubah. Dia memilih untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Wang gajinya langsung tak diusik, siap bagi mak kad banknya

Seperti kata akhirnya, hidup sebagai pelaut hanya Allah sahaja yang tahu apa yang kami fikirkan dan apa yang kami alami. Masih banyak perkara yang belum kami selesaikan dan masih ada tuntutan yang lebih utama yang perlu kami dahulukan. Sabar dan tabah adalah sifat istimewa para pelaut.

Wow, puitiskan kata akhir Asyraf ini. Itu merupakan catatan seorang pelaut yang diturunkan dari seorang pelaut ke pelaut lain. Mungkin siapa yang geng dengan dia tahulah sikapnya bagaimana. Betul tak? Ker ada yang nak geng dengan remaja berwawasan ini?

CER KOMEN SIKIT