Tidak hanya dibanjiri artis popular, instafamous dan gadis-gadis berbakat, hari terakhir pencarian Dewi Remaja 2019 bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam menyaksikan ratusan gadis mencuba nasib untuk dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2019 bagi menggantikan Uqasha Senrose.

Lebih menarik pada pencarian Dewi Remaja 2019 sebelah petang menyaksikan  kehadiran Ellisa Rafiqa Roslee, 20 tahun yang merupakan seorang ahli gimnastik ketika menetap di Illinois, Amerika Syarikat selama 8 tahun kerana mengikut ibunya yang menyambung pengajian di negara Uncle Sam itu.

Elle mencuba nasib di Pencarian Dewi Remaja 2019

 

Elle mula aktif sebagai ahli gimnas ketika darjah 4 dan kemudian ketika menetap di Amerika selama 8 tahun, dia mewakili Urbana Champaign, Illinois

Menurut Ellisa atau mesra disapa Elle, ketika di Amerika Syarikat dia mewakili Urbana Champaign, Illinois dan sering memenangi pelbagai kejuaraan.

“Ada banyak pingat yang saya menangi. Bagi saya sukan ini sangat bagus untuk disiplin diri. Namun ia juga ada bahayanya kerana bahu saya pernah alami kecederaan sehingga mengakibatkan saya tidak lagi aktif dalam sukan gimnas ini. Tapi minat dalam acara gimnastik ini saya teruskan dengan menjadi cheer leader selepas kecederaan tersebut,” katanya yang kita bekerja secara separuh masa sebagai ahli acrobat bersama Psycusix yang merupakan kumpulan Sarkas Malaysia yang pertama.

“Memandangkan pertunjukan sekarang tidak membenarkan kumpulan haiwan seperti suatu masa dulu, jadi ahli-ahli acrobat sebagai gantinya. Saya ahli paling muda dan separuh masa dan ada juga yang bekerja sepenuh masa. Bukan akrobat sahaja tetapi saya juga minat menyelam dan sering melakukan aktiviti ini,” katanya mengakui kebanyakan zaman remajanya dilalui di luar negara kerana ibunya menyambung pengajian terlebih awal di Australia sebelum ke Amerika Syarikat.

Biarpun sudah bersara sebagai ahli gimnas tetapi Ella kini bekerja sebagai akrobat di Psycusix
Elle juga berminat sukan diving dan sering melakukan penyelaman

Ditanya mengenai pencarian Dewi Remaja 2019, Elle memaklumkan dia mahu menunjukkan bakat sedia ada malah mengakui ia salah satu platform untuk melangkah lebih jauh.

“Bagi saya pencarian Dewi Remaja bagus untuk remaja menonjolkan bakat sedia ada mereka. Malah saya sendiri hadir kali kedua hari ini kerana mahu membuktikan keyakinan diri dan minat untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui.

Good luck girl!