Sikap tolong-menolong serta membantu orang dalam kesusahan telah menjadikan seorang remaja Malaysia berusia 13 tahun menyentuh perasaan netizen. Kisahnya membantu seorang warganegara Filipina kini menjadi tular kerana sikap positifnya dalam usia yang muda.

Kejadian yang berlaku baru-baru ini dikongsikan sendiri oleh orang yang dibantu remaja tersebut iaitu Ady Sacol, seorang pengurus operasi IBEX Global Philippines yang menaiki pesawat sama dengan remaja tersebut dikenalinya dengan nama Sean. Mereka berdua bertemu di Phuket International Airport dan berkongsi penerbangan sama dari Phuket ke Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, Sean merupakan antara pemain yang mengambil bahagian dalam sebuah pertandingan bola keranjang namun terpaksa pulang awal kerana datuknya telah meninggal dunia.

“Semasa berada di boarding gate, Sean duduk di sebelah saya. Dan saya rasa dia perasan dengan kecederaan kaki saya sebab saya duduk di atas kerusi roda (selain balutan dan kesan bengkak di kaki dan lutut). Dia kemudian bertanya saya sama ada adakah saya lapar dan apa jenis makanan yang saya mahu? Saya ambil beg duit untuk memberinya wang tetapi Sean menolaknya dan berkata dia ingin membayar makanan itu.”

Reaksi Sean yang baru sahaja dikenalinya itu cukup mengejutkan Ady.

Malah ketika diberitahu mereka perlu bertukar boarding gate, Sean tidak meninggalkanya. Remaja berjiwa besar itu turut membawa beg galas Ady Sacol seberat lebih 15 kilogram dari Gate 4 sehingga ke Gate 14 yang mengambil masa selama 15 minit berjalan kaki.

IKLAN

Sean juga menemaninya ketika dia dibawa menaiki kenderaan khas (yang biasa disediakan untuk orang kelainan upaya & mengalami kecederaan) untuk menaiki pesawat.

Dan apabila tiba di KLIA2, Sean sekali lagi membantunya. Oleh kerana tidak terdapat kerusi roda boleh digunakan ketika itu, Sean membantunya berjalan hinggalah kenderaan buggy airport tiba.

Namun buggy airport hanya boleh membawanya ke tingkat 3 dan dia harus menggunakan lif untuk turun. Namun nasibnya kurang bernasib baik kerana di tingkat dua tidak terdapat kerusi roda dan juga buggy. Sean kemudian mengambil kart dan menyuruhnya duduk. Dia menolak kart tersebut hingga ke kawasan kaunter imigresen.

Dan di sinilah mereka terpaksa mengambil haluan berbeza kerana pemegang pasport Malaysia dan rakyat asing perlu melalui laluan berbeza.

IKLAN

“Saya mengucapkan terima kasih dan sangat terhutang budi dengan pertolongannya. Selepas itu saya saya uruskan dokumen perjalanan di kaunter imigresen. Dan bila menuju ke pintu keluar saya terkejut kerana Sean sedang menunggu saya. Dia kemudian membawa minuman jus, membantu membawa turun bagasi dari karousel dan sekali lagi menolak saya di atas kart hingga ke bahagian luar”.

Pertemuan mereka berakhir selepas kenderaan yang membawa pulang Sean tiba. Ady Sacol sempat memberikan cenderamata berupa sekeping mata wang Filpina. “Duit itu tidak membawa sebarang nilai tetapi mesej yang saya tulis untuknya lebih bererti dansangat berharga. Ia merupakan cenderamata saya untuk Sean sebagai peringatan kenangan singkat kami bersama”.

“I will always remember you for the rest of my Life” – Ady Sacol.

IKLAN

Sehingga kini posting tersebut di Facebook telah dikongsi lebih 2100 dan lebih 4500 likes. Pada awalnya Ady Sacol turut berkongsi foto Sean tetapi atas sebab privasi dan keselamatan dia telah memadamkannya.

Tahniah Remaja ucapkan buat Sean yang telah menjadi contoh dan tauladan yang baik. Pada usia 13 tahun, Sean telah menunjukkan sikap prihatin dan bersedia membantu orang yang berada dalam kesusahan.

Semoga pembaca Remaja semua dapat mengambil pengajaran dan mencontohi Sean!

Perkongsian asal dari Ady Sacol;

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI