• 1.9K
    Shares

Ramai yang begitu terkesan ketika membaca laporan kes kebakaran yang meragut nyawa lebih 20 anak syurga termasuk guru penjaga yang berlaku di Maahad Tahfiz Ittifaqiah, Taman Keramat Kuala Lumpur tahun lalu.

Kejadian di subuh hari itu yang memerangkap sebahagian besar pelajar tahfiz ini mengundang rasa simpati yang bukan sedikit dari masyarakat. Masa yang sama, sumbangan dari orang ramai yang melawat tempat kejadian bagi menzahirkan rasa simpati termasuk kehadiran DYMM SPB Yang Di Pertuan Agung, Sultan Muhammad V yang turut sama terkesan dengan kejadian tidak terduga itu. Masa yang sama, kutipan dan sumbangan derma juga sedekah dari orang ramia mencurah-curah dan angkanya mencecah RM10 juta.

Angkara menegur perbuatan salah laku mereka, akhirnya pusat tahfiz ini dibakar oleh dua remaja yang telah menyendalkan tong gas di jalan keluar selain meletakkan tilam sehingga mengakibatkan kebakaran besar berlaku.

Pusat tahfiz yang terbakar sehingga mengorban nyawa lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar mengundang simpati dari masyarakat

Sultan Muhammad V antara yang berkesempatan melawat pusat tahfiz berkenaan selepas kejadian menimpa

Tetapi malang, selepas 10 bulan perkara ini berlalu, ada isu di sebaliknya. Mungkin mahukan sebuah jawapan dan keadilan, maka sebahagian keluarga korban tragedi ini telah melantik peguam dan bertindak memfailkan saman sivil.

Semalam sebahagian keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, di sini mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap pemilik pusat tahfiz tersebut dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwa cuai sehingga berlakunya tragedi menyayat hati itu.

Saman sivil terhadap tiga pihak iaitu pemilik pusat tahfiz, MAIWP dan dua remaja yang merupakan tertuduh dalam kes itu, difailkan oleh firma guaman Tetuan Mohaji, Hazury dan Ismail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pukul 6 petang semalam.

Tragedi kebakaran pusat tahfiz yang terletak di Kampung Datuk Keramat, di sini, yang berlaku pada kira-kira 5.15 pagi 14 September tahun lalu itu menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut selepas terperangkap dalam kebakaran bangunan sementara pusat tahfiz berkenaan.

Sebahagian keluarga yang menyaman pusat tahfiz ini mahukan keadilan dan sebuah jawapan tentang tragedi yang berlaku

Peguam Faiz Fahmi Md Fodzi berkata, beliau mewakili Persatuan Kebajikan Tahfiz Malaysia (Pertama) yang ditubuhkan 11 waris mangsa yang meninggal dan yang cedera dalam insiden itu, bertujuan untuk membela kebajikan mangsa dan waris yang terkesan dengan tragedi itu.

“Saya mewakili anak guam memfailkan saman bagi menuntut keadilan melibatkan isu keselamatan dan sumbangan derma yang sehingga kini masih belum diterima oleh waris,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini.

Menurut Faiz Fahmi, dalam tuntutan saman itu, pusat tahfiz berkenaan antara lain didakwa gagal menyediakan tempat tinggal yang selamat kepada pelajar sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa kebakaran tersebut.

Ia juga menuntut satu deklarasi supaya semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera serta plaintif-plaintif menerima 100 peratus derma yang didermakan khusus untuk mangsa kebakaran, serta menerima 80 peratus daripada derma umum kepada mangsa kebakaran, dengan kedua-dua pembahagiannya tertakluk kepada mekanisme yang ditentukan mahkamah.

Kebanyakan akhbar dalam negara melaporkan tragedi menyayat hati ini. Gambar Harian Metro

Orang ramai menziarahi pusat tahfiz ini selepas beritanya tular dan menjadi viral kerana lebih 20 anak syurga meninggal dunia

Sementara itu, pengerusi Pertama Zamzuri Zakaria berkata, saman berkenaan adalah pilihan terakhir terpaksa diambil waris kerana sehingga kini pihak keluarga mangsa yang meninggal, cedera dan ada yang masih trauma, masih gagal mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan pusat tahfiz tersebut, terutama dengan pengetua pusat tahfiz Mohd Zahid Mahmood, bagi mendapat penjelasan mengenai kedua-dua perkara berkenaan.

“Tujuan persatuan memfailkan saman ini ialah untuk membuka ruang bagi perbincangan diadakan kerana sehingga kini, sudah hampir 10 bulan kejadian berlaku, tetapi masih belum ada perbincangan diadakan antara pihak sekolah dengan waris. Sebenarnya sudah banyak kali kesemua waris cuba mengatur pertemuan dengan pihak tahfiz namun sehingga hari ini tidak mendapat kerjasama daripada pihak pengetua.

“Kali terakhir waris mangsa berjumpa dengan pengetua pusat tahfiz berkenaan ialah 22 September, kira-kira seminggu selepas kejadian, namun disebabkan tidak semua waris terlibat turut serta pada pertemuan itu, mereka menetapkan satu tarikh lain iaitu 30 September untuk perjumpaan bersama semua waris,” katanya.

Beliau berkata, semasa pertemuan pada 22 September itu pengetua memberitahu akan menyimpan 30 peratus daripada sumbangan dan selebihnya akan diserahkan kepada keluarga 21 pelajar yang terkorban dan keluarga mangsa yang cedera dan trauma.

“Bagaimanapun, pada 30 September ketika semua waris berkumpul, pengetua tidak hadir dan hanya menghantar wakil yang ketika ditanya hanya menjawab beliau tidak tahu apa-apa. Sehinggalah ke hari ini, masih belum ada perjumpaan pihak tahfiz dengan kesemua waris terlibat,” katanya.

Selain itu, katanya, pihak waris juga menggunakan platform kumpulan WhatsApp ibu bapa dan tahfiz yang sedia ada untuk berbincang namun pihak pengurusan tahfiz didakwa sering mengelak terutama apabila ditanya tentang sumbangan, dan terakhir sekali pihak sekolah meminta waris berhubung dengan peguam mereka.

“Sebab itulah kami juga terpaksa mendapatkan khidmat peguam. Selama hampir 10 bulan perkara ini berlarutan, kami kesal kerana tiada perbincangan dengan pihak pengurusan tahfiz,” katanya.

Gambar ini turut tular di media sosial

Suasana sebak dan sedih dapat dirasai ketika jenazah dikeluarkan dari pusat tahfiz berkenaan

Setiausaha Pertama Datin Hartini Abd Ghani, 49, yang kehilangan anak Nik Muhammad Ridzuan, 12, dalam kebakaran itu berkata persatuan itu cuba untuk membela nasib kebanyakan waris yang terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan, serta ada di antara mangsa cedera dan mengalami kecacatan kekal masih menjalani rawatan sehingga kini.

“Mengenai wang sumbangan, kami ada bertanya kepada pihak pengurusan tahfiz namun kami tidak pernah dimaklumkan mengenai butirannya, berapa jumlahnya kami tidak tahu kerana setiap kali ditanya pihak tahfiz berkata ia masih diaudit, paling menyedihkan apabila bertanya, waris pula dikatakan tamak,” katanya.

Katanya, waris hanya tahu mengenai jumlah terkumpul sumbangan sebanyak RM7.6 juta setelah diumumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu sidang media pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Nur Azizan Abdul Razak, 45, bapa kepada Muhammad Taufiq Hidayat, 16 yang meninggal dunia dalam insiden berkenaan berkata beliau kesal kerana sehingga kini tiada sebarang perbincangan di antara pihak pengurusan tahfiz dan keluarga mangsa.

Nor Azlin Abd Aziz, 37, ibu Mohd Afiq Hakimi Hairul Azwan, 11  yang turut terkorban dalam tragedi itu mengharapkan isu itu segera selesai.

“Sudah hampir 10 bulan peristiwa itu berlaku, tetapi perkara ini masih berlarutan, kalau boleh kami sekeluarga dan saya percaya waris-waris yang lain juga, ingin ia cepat-cepat selesai. Selagi ia berlarutan, selagi itu peristiwa pilu yang berlaku akan menghantui kami. Walaupun cuba menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi hakikat kehilangan anak dalam tragedi seperti itu, hanya kami yang tahu… tambah-tambah dah semakin dekat dengan hari raya ni,” katanya.

Pihak berkuasa mendakwa kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan susulan itu tujuh suspek dilaporkan ditahan pada 15 Sept tahun lalu bagi membantu siasatan polis.

Bagaimanapun, hanya dua daripada mereka, kedua-duanya berumur 17 tahun berdepan 23 pertuduhan membunuh melibatkan kes berkenaan dan kedua-dua mereka diwakili firma guaman Gobind Singh Deo & Co. – Bernama

 

CER KOMEN SIKIT

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendalikan Oleh Astro Group

error: