Pernah kah anda mendengar tentang tampon? Di Malaysia, mungkin masih ramai lagi yang tidak diberi pendedahan dengan bahan menstruasi ini berbanding tuala wanita.

 

Sebenarnya di luar negara kaedah ini sudah lama digunakan dan ia merupakan sesuatu yang biasa, malah remaja di sana lebih memilih untuk memakai tampon sewaktu datang bulan kerana lebih praktikal daripada penggunaan tuala wanita.

 

Namun, pemahaman budaya atau stigma masyarakat terhadap wanita yang memakai tampon menjadikan mereka takut untuk menggunakannya.

 

 

Banyak tanda tanya yang sering bermain di fikiran, antaranya adalah seperti adakah tampon boleh hilang dalam tubuh atau mungkin kah penggunaannya dapat memecahkan selaput dara.

 

Justeru itu, ramai yang takut untuk mencubanya dan jangan terkejut jika ada wanita yang langsung tidak tahu apa itu tampon.

 

Walau bagaimanapun, sebenarnya tampon tidak boleh lolos dan masuk ke dalam rahim kerana mulut rahim terlalu kecil untuk meloloskan tampon dengan lebih dalam lagi.

 

 

Selain itu, terdapat tali di hujung tampon untuk memudahkan anda menariknya keluar. Jadi tidak timbul isu sama ada ia boleh lenyap dalam kemaluan atau memecahkan dara.

 

Bagaimana menggunakan tampon dengan selamat?

 

Terdapat tiga perkara yang REMAJA nak tegaskan jika anda ingin menggunakan tampon.

 

1.    Notis masa

Paling penting, anda harus sentiasa alert untuk menukar tampon pada setiap empat hingga lapan jam. Jangan gunakan lebih daripada lapan jam dan elakkan memakainya semasa tidur.

 

Semakin lama anda memakai tampon yang tidak ditukar, semakin tinggi risiko untuk mendapat jangkitan bakteria.

 

2.    Risiko Toxic shock syndrome (TSS)

TSS sering kali dikaitkan dengan penggunaan tampon, biasanya daripada jenis superabsorbent.  Lebih lama anda menggunakannya, lebih tinggi risiko untuk dijangkiti bakteria ini.

 

Seperti kes yang terjadi di luar negara, seorang remaja berusia 14 tahun hampir maut kerana terlepas pandang akan hal ini.

 

Molly Pawlett pada ketika itu ingin masuk tidur dan memutuskan untuk menukar tampon tetapi malangnya dia terus tertidur dan tidak sempat menukarnya.

 

 

Keesokan harinya, Pawlett terjaga dalam keadaan yang tidak selesa dan ibunya terkejut melihat ruam merah yang aneh mula tumbuh pada tubuh anaknya, lantas dibawa terus ke hospital.

 

Doktor telah mengesahkan bahawa Pawlett dijangkiti penyakit TSS, iaitu merupakan satu komplikasi yang boleh mengancam nyawa. Mujur dia segera ke hospital, jika tidak menghiraukan gejala-gejala tersebut, kes ini boleh berakhir dengan tragis.

 

3.    Pilih serapan yang sesuai

Tampon juga seperti tuala wanita yang mempunyai pelbagai jenis mengikut kesesuaian tempoh pendarahan anda. Pilih tampon dengan penyerapan yang sesuai.

 

Penggunaan saiz tampon yang terlalu besar dapat meningkatkan peluang untuk dijangkiti TSS. Lakukan yang terbaik untuk menyesuaikan saiz tampon dengan aliran darah haid.

 

 

Secara kesimpulan, tidak ada salahnya untuk anda memakai tampon tetapi demi menjaga kebersihan dan keselamatan, ilmu penjagaan itu perlu diambil kira. Janganlah kerana orang pakai, kita nak pakai juga.

 

Ambil tahu tentang perkara-perkara penting seperti ini, barulah lebih yakin dan terjamin keselamatannya.

 

Sumber: familyshare.com