Konflik adik beradik bukan perkara asing dalam kehidupan kita. Masalah ini tidak hanya terjadi di kalangan adik beradik tiri malah seibu sebapa juga dibelenggu konflik tersebut. Remaja mengupas topik ini secara mendalam. Apakah punca terjadinya konflik adik beradik dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini. Ikuti kupasan tersebut.

 

PUNCA:  Perebutan harta
Wang dan harta antara punca yang menyebabkan berlakunya pertelingkahan adik beradik. Ketidakpuasan tentang pembahagian harta menyebabkan pertalian darah menjadi renggang dan mencetuskan permusuhan yang berpanjangan.

 

SOLUSI
Di dalam undang-undang, termaktub dengan jelas bahawa setiap ibu bapa digalakkan membuat wasiat agar pembahagian aset kepada anak-anak atau waris mengikut perundangan dan adil selepas berlakunya kematian. Namun sebelum membuat wasiat bertulis, sebaik-baiknya pemilik aset berbincang dengan peguam atau pihak yang arif agar pembahagian harta dapat dilaksanakan secara profesional. Tindakan ini dapat mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati di kalangan anak-anak. Kepada remaja, kamu harus ingat wang dan harta bukan kunci kebahagiaan, terimalah wasiat dengan hati terbuka. Kamu perlu semai di dalam jiwa bahawa pertalian saudara lebih penting berbanding harta.

 

PUNCA: Pilih kasih
Sikap ibu bapa atau waris yang pilih kasih akan mengakibatkan emosi anak-anak terganggu. Jika ibu bapa bersikap sedemikian, kamu usah sesekali mengikut jalan yang sama. Layan adik beradik sama rata dan jangan sesekali membandingkan adik beradik kerana setiap insan ada kelebihan dan kekurangannya.

 

SOLUSI
Luahkan isi hati kepada ibu bapa jika kamu berasa diri terpinggir Kebanyakan ibu bapa tidak sedar perasaan anak terguris gara-gara sikap mereka yang pilih kasih. Jika berlaku perselisihan faham dengan adik beradik, usah disimpan dalam hati. Maafkan kesilapan masing-masing dan cuba menyelami hati saudara kandung kamu. Cara ini membuatkan kamu lebih memahami dan ikatan adik beradik semakin erat.

 

PUNCA: Pentingkan diri sendiri
Walaupun dilahirkan daripada ibu yang sama, namun sikap kamu dan adik beradik berlainan sama sekali. Masing-masing mempunyai personaliti berbeza dan pasti ada yang bersikap mementingkan diri sendiri serta ego. Ia boleh terjadi kepada anak sulung, tengah atau bongsu. Sikap ini umpama gunting dalam lipatan, ia akan memusnahkan keharmonian keluarga.

 

SOLUSI
Tali persaudaraan tidak akan putus selama-lamanya, terima dan fahami pertalian istimewa yang terjalin antara kalian. Untuk hidup bahagia, setiap insan mesti belajar bertolakansur dan bekerjasama. Tiada manusia di dalam dunia ini boleh hidup sendirian tanpa bantuan orang lain. Kita saling memerlukan dan ada kala kamu diperlukan untuk memberi sumbangan kepada adik. Di masa lain kamu pula memerlukan bantuan adik, inilah putaran kehidupan walau di mana pun kamu berada.

 

PUNCA:  Hubungan kekeluargaan renggang
Kerapuhan ikatan kekeluargaan akan menyebabkan kasih sayang berkurangan di kalangan ahlinya terutama apabila berlaku perceraian atau perkahwinan kedua bagi ibu atau bapa. Sukar bagi anak-anak terutamanya golongan remaja menerima kehadiran adik beradik tiri atau adik beradik kandung yang sudah lama terpisah akibat perpisahan ibu dan bapa.

 

SOLUSI
Hidup ini umpama roda, ada kalanya kita gembira dan ada kalanya kita derita. Dugaan akan sentiasa datang menguji kesabaran kita. Lantaran, kamu harus bersikap terbuka dan matang menghadapi dugaan yang berlaku dalam keluarga kamu. Buang ego ketepi dan cuba eratkan kembali hubungan dengan adik beradik. Ingatlah! Permusuhan adik beradik tidak mempunyai faedah dan mendatangkan kerugian kepada kamu. Walaupun rasa benci ditunjukkan di muka, namun percayalah jauh di sudut hati kamu tidak boleh menafikan kehadiran darah daging. Pupuk kasih sayang antara kalian, pasti ia akan membuahkan kemanisan.

 

PUNCA:  Kurang didikan agama
Asas didikan agama bukan sahaja dapat membentuk akhlak mulia, malah menjadi panduan kepada remaja untuk menjalani kehidupan yang sihat. Kurang didikan agama akan menyebabkan golongan ini hilang arah dan mudah dipengaruhi anasir negatif seperti kurang sabar, hasad dengki dan sebagainya. Unsur negatif ini menyebabkan remaja sering berselisih faham dengan adik beradik sehingga berlakunya pergaduhan yang besar. Malah ada yang sanggup memutuskan ikatan persaudaraan gara-gara terlalu mengikut rasa hati.

 

SOLUSI
Jika ibu bapa kurang memberi perhatian terhadap aspek agama, kamu jangan menjadikan ia sebagai alasan untuk melakukan perbuatan negatif. Cari alternatif seperti belajar mendalami agama di sekolah, university atau berguru dengan pengajar bertauliah. Ilmu agama akan membantu kamu mengurus kehidupan dengan baik dan menjaga kebajikan keluarga. Lantaran, tidak akan berlaku permusuhan saudara.

 

PUNCA Hasutan orang ketiga
Keluarga kamu sememangnya bahagia dan ikatan adik beradik begitu erat tapi ia menjadi goyah apabila adanya campur tangan atau hasutan pihak ketiga seperti kekasih, saudara mara jauh atau musuh yang dengki dengan kebahagiaan yang dinikmati keluarga kamu. Ramai yang tidak sedar mereka termakan hasutan pihak ketiga sehingga sanggup berpantang arang dengan adik beradik sendiri.

 

SOLUSI
Berhati-hati apabila bergaul dengan orang luar selain keluarga kerana kita tidak tahu niat tersembunyi seseorang. Jika pihak ketiga cuba memburukkan adik beradik kamu atau melagalagakan kamu dengan keluarga, jauhkan diri daripada golongan ini. Tindakan paling penting, ceritakan perangai orang ketiga ini kepada adik beradik serta keluarga supaya mereka tahu perkara sebenar dan tidak terpengaruh dengan hasutannya.